MAJLIS penyerahan surat tawaran.
MAJLIS penyerahan surat tawaran.
Oleh Nor Akmar Samudin


Selepas lapan tahun meninggalkan dunia pembelajaran, Pekin akan bergelar mahasiswa semula apabila menyambung pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Mengambil jurusan Pengurusan Industri Kreatif pering­kat Ijazah Sarjana Muda selama lima tahun, dia mengikuti pengajian itu secara jarak jauh di kampus UUM Kuala Lumpur (UUMKL).

Bagaimanapun, dalam usaha merealisasikan impian bergelar artis berilmu dan berwawasan, ada cerita sedih terbuku di hatinya.

“Orang yang beria-ia memberi semangat untuk saya belajar semula sudah tiada di dunia ini. Dia juga ingin belajar dan sudah terbayang di mata saya betapa seronoknya kami berjalan berdua ke bilik kuliah serta menyiapkan tugas diberikan pensyarah bersama-sama.

“Namun Allah SWT lebih menyayanginya. Dia ialah Allahyarham Azwan Annuar yang meninggal dunia pada April lalu. Selaku PR (Pegawai Perhubungan Awam) syarikat produksi, kami selalu bekerjasama mempromosikan filem.

“Azwan juga pernah berlakon dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah. Hari ini (kelmarin) saya terkenangkannya dan jika dia masih ada, tentu dia akan menerima surat tawaran pengajian daripada UUM,” katanya.

Pekin atau nama sebenarnya, Mohd Iznan Ibrahim, yang memiliki Diploma Pengajian Filem dari universiti di Jogjakarta akan menyambung cita-cita sahabat karibnya itu. Rancangan pelakon yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu, sebaik saja pengajian tamat dia akan sambung ke peringkat sarjana dan kemudian Doktor Falsafah (PhD).

“Walaupun agak lama meninggalkan alam pembelajaran, tiada masalah untuk saya kembali menghadap buku kerana jurusan yang diambil berkaitan dengan apa yang saya lakukan sekarang.

“Pengalaman dan pengajian itu akan bersatu. Usaha UUM ini sangat bagus kerana memberi peluang insan kreatif menuntut ilmu ke tahap tertinggi sekali gus menyuntik semangat kepada masyarakat bawah sesiapa saja boleh belajar tanpa mengira usia,” katanya.

Ujarnya lagi, untuk menjadi pelapis kepada penggiat dan pengkarya seni sedia ada, generasi baru mestilah dilengkapi ilmu untuk memacu industri ke tahap lebih tinggi.

Pekin ditemui pada majlis penyerahan surat tawaran pengajian yang diadakan di sebuah hotel kelmarin. Seramai 49 penggiat seni termasuk pelakon, penyanyi dan pekerja di belakang tabir mengikut program ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif (BCIM) dan Sarjana Sains Pengurusan Mod Penyelidikan.

Antaranya, Tomok, Hazama, Zahid AF, Fizo Omar, Fattah Amin, Adibah Yunus, Fiza Elite dan Datuk Eizlan Yusof. Jadual belajar tidak mengganggu aktiviti seni mereka kerana kuliah akan diadakan sebulan sekali di UUMKL dan selebihnya melakukan kajian sendiri.

Pada majlis sama, UUM menyerahkan surat pelantikan Profesor Adjung kepada Ketua Pegawai Eksekutif Star Media Group Berhad, Datuk Seri Wong Chun Wai.

Penyerahan surat tawaran pengajian dan pelantikan itu disempurnakan, Naib Canselor UUM, Profesor Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Sri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad.

Mengarah filem sulung

Beralih perkembangan karier, Pekin baru saja bergelar pengarah menerusi filem sulungnya, Mat Moto, terbitan Viper Studios Sdn Bhd milik Syafik Datuk Yusof. Dia turut bertindak selaku penulis skrip dan pelakon.

“Syafik memberi kepercayaan kepada saya untuk mengarah filem ini dan dia turut turun padang membantu. Pasukan produksi terdiri daripada mereka yang terbaik dalam lapangan masing-masing malah saya menggunakan khidmat Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin sebagai Pengarah Fotografi.

“Tiada masalah untuk saya mengarah dan berlakon kerana pembikinan filem dilakukan secara berperingkat dan kini Mat Moto dalam proses memasukkan muzik. Filem ini dijangka ditayangkan awal tahun depan.

“Saya sedang menyiapkan skrip filem baru yang akan memulakan penggambaran secepat mungkin,” katanya.

Pekin yang berlakon sejak 1997, sudah menimba banyak pengalaman dalam industri dan bersedia me­nyahut cabaran bergelar pengarah.

“Mat Moto adalah ilham saya dengan arwah Azwan dan selepas skrip siap saya tunjukkan kepada Syafik. Selepas meneliti skrip, dia minta saya mengarah sendiri naskhah itu,” katanya.

Menyentuh perihal peribadi, Pekin mengakui sedang berkawan dengan seseorang namun masih awal untuk berkongsi dengan media dan peminat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2015 @ 5:01 AM