Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Meskipun tiada pertalian darah, kasih sayang dicurahkan ibarat anak itu adalah darah daging sendiri. Buktinya, ibu bapa sanggup berkorban segalanya bagi membesarkan anak angkat yang diserahkan kepada mereka secara tiba-tiba.

Ada juga yang pernah ditipu sehingga puluhan ribu ringgit demi mendapatkan status warganegara buat anak angkat mereka kerana kasihan dan memikirkan masa depan.

Ikuti perkongsian ibu bapa dan anak angkat mereka yang ditinggalkan keluarga kandung hingga terpaksa menumpang kasih dengan orang lain.

'Mak dia datang tuntut saya takkan serahkan'

"Andai satu hari keluarga kandungnya datang tuntut, saya tak akan serahkan kerana sayangkannya seperti anak sendiri," kata peniaga, Salim Janudin, 52, yang membesarkan anak angkatnya, Muhammad Rayyan Mikael, 4, seperti zuriat sendiri.

Meskipun mempunyai tiga anak sendiri, Salim dan isteri, Faridha Muhammad, 52, tidak pernah mengabaikan kebajikan Muhammad Rayyan malah berusaha menyediakan keperluan mengikut kemampuan mereka.

Bercerita lanjut, Salim yang menetap di Kampung Medan, Petaling Jaya berkata, Muhammad Rayyan dijaga sejak berusia empat bulan selepas diserahkan ibu kandungnya pada Mei 2020.

"Kisahnya bermula apabila seorang wanita datang ke rumah dan menyerahkan anak. Saya tak kenal wanita itu cuma sebelum beredar, dia pesan tolong jaga dan katanya akan ambil semula.

"Tapi sampai sekarang, dia pergi tak kembali dan tinggalkan adik sehelai sepinggang tanpa sebarang dokumen," katanya ketika ditemui Harian Metro di ketika ditemui Harian Metro di pejabat Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibah Malaysia (MJMM) dekat Tasek Permaisuri, Cheras, di sini.

SALIM bersama Muhammad Rayyan. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
SALIM bersama Muhammad Rayyan. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim

Mengenangkan keadaan Muhammad Rayyan yang masih kecil ketika diserahkan, Salim dan isterinya sepakat membesarkan anak angkat mereka itu bersama.

Bermula dengan kasihan dan menjaga amanah, Salim mengakui timbul rasa sayang hingga dia sudah menganggap Muhammad Rayyan seperti darah dagingnya sendiri.

"Anak saya pun suka jadi saya ambil keputusan untuk terus jaga (Muhammad Rayyan). Dia pun tak kenal ibu dan ayah kandungnya.

"Walaupun bukan orang senang, kami tak pernah berasa terbeban cuma risau dengan status adik yang tiada MyKid kerana dokumen pengenalan diri yang tidak lengkap," katanya.

Menurut Salim, buat masa ini tiada masalah namun dia bimbang ia akan timbul apabila Muhammad Rayyan meningkat dewasa terutama berkaitan status kewarganegaraan.

"Sudah puas saya usaha dapatkan status kerakyatan tapi tak berhasil. Ada yang suruh gunakan khidmat ejen tapi saya tak berani kerana bimbang ditipu.

"Tapi saya tak akan putus asa dan berjanji untuk terus jaga adik selagi hayat dikandung badan," katanya.

'Kehadiran Natasha bawa rezeki buat kami'

Meskipun bukan darah daging sendiri, Wan Mohd Farizan Wan Mohd Ali tidak pernah terbeban menjaga serta membesarkan anak angkatnya, Natasha Putri Qaseh atau mesra disapa Natasha.

Sebaliknya, Wan Mohd Farizan, 45, mengakui kehadiran Natasha, 12, menyerikan hidupnya selain membawa rezeki buat mereka sekeluarga.

Menurut Wan Mohd Farizan, Natasha dilahirkan di sebuah pusat perubatan di Puchong, Selangor namun ditinggalkan keluarga kandung ketika berusia tiga tahun.

"Ibu Natasha adalah kenalan isteri namun bapanya yang menyerahkannya kepada kami. Natasha ditinggalkan dengan surat beranak saja tanpa dokumen lain.

"Mereka beritahu mahu tinggalkan sekejap sahaja tapi sehingga hari ini tidak datang mengambilnya semula malah tidak dapat dikesan.

"Ketika itu, saya tiada kerja namun berusaha membesarkan Natasha kerana mana tahu kehadirannya boleh bawa rezeki.

"Lama kelamaan, timbul perasaan sayang hingga sudah anggap dia macam anak sendiri," katanya ketika ditemui Harian Metro pejabat Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibah Malaysia (MJMM) dekat Tasek Permaisuri, Cheras, di sini.

WAN Mohd Farizan (kiri) bersama Natasha yang kini sudah menginjak usia remaja sejak dijaga ketika usia tiga tahun. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
WAN Mohd Farizan (kiri) bersama Natasha yang kini sudah menginjak usia remaja sejak dijaga ketika usia tiga tahun. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim

Menurut Wan Mohd Farizan, buat masa ini, dia tidak berdepan masalah untuk mendaftar persekolahan Natasha.

Katanya, Natasha juga anak yang bijak dan ada potensi dalam pelajaran.

"Cuma, Natasha sudah masuk alam remaja dan tak lama lagi akan meningkat dewasa namun belum dapat status kerakyatan walaupun dilahirkan di sini.

"Saya pernah ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk memohon namun tidak berhasil dan pernah juga berhabis sehingga RM28,000 membayar individu yang kononnya nak membantu.

"Sebaliknya saya ditipu dan sebagai bapa angkat, saya sentiasa memikirkan masa depan Natasha tambahan dia perempuan.

"Jadi mohon sangat seandainya pihak berwajib dapat membantu kerana saya sanggup besarkan Natasha cuma mahu bantu supaya dia dapat status kerakyatan," katanya.

Wan Mohd Farizan berkata, selagi ada kudrat, dia akan terus menjaga dan membesarkan Natasha.

"Dia pun tiada siapa jadi biarlah saya dan isteri menjaganya. Tak anggap pun dia anak angkat kerana layan macam anak sendiri," katanya.

'Kalau boleh saya tak nak berpisah dengan mak'

"Saya sayangkan beliau macam ibu sendiri walaupun sedar hakikat yang tiada pertalian darah antara kami," kata Erra Malik.

Erra kini berusia 31 tahun dan dibesarkan ibu angkat, Siti Ilham Kadir, 56, sejak kecil selepas ditinggalkan keluarga kandungnya.

Lantaran itu, Erra tidak pernah menatap wajah ibu mahupun bapa kandungnya jauh sekali bertemu dengan mereka.

Jauh di sudut hati, Erra mahu bertemu dengan ibu bapa kandungnya namun sehingga kini tidak tahu di mana mereka berada.

"Menurut emak (ibu angkat), keluarga kandung serahkan saya kepadanya dengan alasan nak minta jaga sementara kerana ada urusan untuk diselesaikan.

"Tapi mereka tak datang semula mengambil saya hingga emak tiada pilihan melainkan ambil tanggungjawab besarkan saya.

"Waktu itu, keluarga kandung tinggalkan saya bersama surat beranak dan tiga helai baju saja. Ikut surat beranak, ibu bapa kandung saya warga Filipina dan setakat itu saja yang saya tahu," katanya.

ERRA (kiri) bersama ibu angkatnya, Siti Ilham. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
ERRA (kiri) bersama ibu angkatnya, Siti Ilham. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim

Menurut Erra, dia bersyukur kerana dijaga dengan baik oleh ibu angkatnya sejak kecil hingga dewasa.

Erra turut menghargai jasa dan pengorbanan ibu angkatnya yang tidak mampu dibalas dengan wang ringgit.

"Bukan setakat jaga, beri makan minum dan tempat tinggal malah emak juga bantu saya yang kini masih berjuang mendapatkan hak kerakyatan.

"Buat masa ini, hanya ada kad pengenalan sementara kerana bukan warganegara walaupun lahir dan sudah lama menetap dalam negara.

"Itu yang saya hargai sangat dan kalau boleh, saya tak nak berpisah dengannya," katanya yang masih mengharap peluang mendapat status warganegara.

Isu status warganegara anak jadi beban ditanggung keluarga angkat

Isu anak ditinggalkan ibu bapa akibat kesempitan hidup, enggan menggalas tanggungjawab atau status tidak sah taraf bukan perkara baru dalam masyarakat kita.

Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah berkata, situasi itu amat membimbangkan kerana menyukarkan ibu bapa angkat yang mengambil alih tanggungjawab membesarkan dan proses permohonan mendapatkan kad pengenalan dan status warganegara sah di negara ini.

Abdul Rani berkata, pihaknya sedia menerima aduan berhubung isu berkenaan dan boleh membantu ibu bapa dan anak terbabit dengan merujuk kepada agensi berkaitan namun kelulusan permohonan dibuat di luar bidang kuasanya.

"Isu itu sudah mana dan saya sudah buat laporan polis susulan kes anak tak sah taraf, terabai dan tak diambil peduli walaupun dilahirkan di sini kerana sikap tidak bertanggungjawab ibu bapa kandung.

"Kasihan kerana apabila sudah dewasa, ke mana nak pergi jika tiada keluarga angkat yang boleh menjaga mereka.

"Ada yang sudah berumur 30 tahun ke atas tetapi belum dapat status warganegara malah ramai tiada dokumen pengenalan diri," katanya ketika ditemui Harian Metro di pejabat MJMM dekat Tasek Permaisuri, Cheras, di sini.

ABDUL Rani. FOTO Arkib NSTP
ABDUL Rani. FOTO Arkib NSTP

Abdul Rani menghargai jasa dan pengorbanan ibu bapa angkat yang mengambil amanah menjaga dengan kasih sayang walaupun anak itu asalnya diserahkan tanpa kerelaan mereka.

Bagaimanapun, Abdu Rani simpati dengan nasib segelintir ibu bapa yang menjadi mangsa sindiket penipuan demi mendapatkan status kewarganegaraan buat anak angkat mereka.

"Ramai juga ibu bapa angkat mengadu kepada saya mengatakan mereka ditipu oleh ejen yang katanya nak bantu dapatkan kad pengenalan.

"Lebih menyedihkan ada antara mereka yang menanggung kerugian hingga puluhan ribu ringgit. Itu belum termasuk wang yang mereka belanjakan untuk besarkan anak angkat itu," katanya.

Anak angkat tak masuk senarai penerima faraid harta pusaka

Individu berstatus anak angkat tidak tersenarai sebagai waris yang layak menerima faraid harta pusaka daripada keluarga angkatnya.

Peguam sivil dan peguam syarie Muhammad Hariz Md Yusoff berkata, namun anak angkat boleh menerima harta melalui cara hibah dan satu pertiga harta mengikut wasiat.

"Hibah adalah pemberian hadiah sebagai tanda kasih sayang. Ia berlaku dengan cara pemberian semasa hidup yang diberikan oleh pemilik harta (keluarga angkat) kepada pihak yang mendapat hibah (anak angkat).

"Selain itu, anak angkat juga boleh menerima harta daripada keluarga angkatnya melalui wasiat dengan syarat bahagian yang diperuntukkan kepadanya adalah tidak melebihi satu pertiga daripada keseluruhan harta.

"Bahagian satu pertiga itu boleh diwasiatkan kepada anak angkat dan jika keluarga angkat berhajat untuk memberikan lebih daripadanya (lebih satu pertiga) maka perlulah mengikuti hukum syarak yang sudah ditetapkan," katanya ketika dihubungi.

Menurut Muhamad Hariz, pembahagian harta itu adalah kerana Islam sudah meletakkan syarat mengikut hukum faraid bahawa penerima adalah individu yang mempunyai hubungan kekeluargaan berdasarkan pertalian darah, pernikahan dan wala' (pembebasan hamba) sahaja yang layak.

"Justeru, anak angkat yang tidak mempunyai hubungan pertalian dengan ahli keluarga angkat adalah terhalang untuk menerima harta pusaka," katanya.

MUHAMMAD Hariz. FOTO Arkib NSTP
MUHAMMAD Hariz. FOTO Arkib NSTP

Menurut Muhammad Hariz, tiada peruntukan secara khusus hak hadhanah atau hak jagaan membabitkan anak angkat di negara ini.

Berikutan itu, Muhammad Hariz berkata, timbul persoalan dalam kalangan masyarakat mengenai hak keluarga angkat.

"Bagi orang Islam tidak ada peruntukan yang khusus di dalam Akta atau Enakmen Keluarga Islam mengenai pengambilan anak angkat.

"Pengambilan anak angkat membabitkan orang Islam di Semenanjung Malaysia boleh dilakukan di Pejabat Pendaftaran Anak Angkat sahaja di bawah Akta Pendaftaran Pengangkatan 1952 (Akta 253).

"Sebelum sesuatu pengangkatan didaftarkan di bawah Akta 253, ada beberapa syarat tertentu perlu dipenuhi berdasarkan Seksyen 6(1) Akta 253.

"Syarat ditetapkan adalah berumur di bawah 18 tahun, belum pernah berkahwin, berada dalam jagaan atau diasuh, ditanggung dan diberi pendidikan oleh seseorang atau sepasang kelamin bersama anaknya atau anak mereka menurut pengangkatan fakta dan kanak-kanak itu selama tidak kurang daripada dua tahun berturut-turut dan sebelum sahaja tarikh permohonan untuk pendaftaran, dalam jagaan atau diasuh, ditanggung dan diberi pendidikan oleh pengangkat,"katanya.

Sementara itu, peguam Noorulhuda Daud berkata, keluarga angkat mempunyai hak ke atas anak angkat jika diambil melalui undang-undang dan secara sah.

"Kena lihat sama ada proses pengangkatan dibuat mengikut undang-undang atau tidak.

"Ia kerana ikut proses undang-undang keluarga kandung sudah lepaskan hak kepada keluarga angkat semasa pengangkatan tersebut berlaku.

"Jadi mereka tidak boleh tuntut hak (anak) di kemudian hari cuma mengikut undang-undang Islam dan hukum syarak, nama anak tidak boleh berbin atau berbinti bapa angkat dan tidak boleh jadi wali dalam pernikahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2024 @ 12:01 PM