MURID seronok menjalani sesi P&P di kelas pintar.
MURID seronok menjalani sesi P&P di kelas pintar.
Oleh Redzuan Muharam


Port Dickson: "Saya bukan nak menunjuk cuma buktikan cikgu bukan hanya mengajar atau tahu makan gaji saja tapi lebih daripada itu," kata guru Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT), Yuslan Ibrahim.

Yuslan, 46, yang juga Ketua Panitia Reka Bentuk Teknologi (RBT) Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru Si Rusa, di sini, boleh dianggap permata di sekolahnya kerana bukan hanya melakukan tugas hakikinya malah lebih daripada itu demi memastikan anak didiknya tidak ketinggalan dengan murid di bandar.

Salah satu inisiatifnya ialah menerusi projek transformasi bilik darjah yang ditinggal lama menjadi kelas pintar bertaraf lima bintang.

Ia hasil usahanya menggunakan sebahagian wang simpanan bagi menceriakan kelas dan bantuan penaja yang menyumbang kemudahan seperti televisyen pintar, penghawa dingin serta kipas meja.

Menurutnya, projek itu dijalankan kerana mahu memberi keselesaan kepada pelajar kerana yakin ia dapat menarik kehadiran mereka ke sekolah.

"Ia bermula dua tahun lalu dan menyedari kekangan kewangan jadi saya ambil inisiatif meyakinkan pihak swasta untuk menaja dengan sokongan pihak sekolah.

"Alhamdulillah, percubaan saya berhasil apabila ada syarikat berminat menyumbang barangan namun ada juga dibeli dengan duit saya sendiri seperti sofa mini, bunga, pokok hiasan dan cermin besar.

"Jika dulu, ruang dalam bilik darjah itu suram dan kelam namun kini nampak 'hidup' sampai murid tak berkelip melihatnya. Sebagai guru saya tentunya gembira apabila murid selesa belajar serta buat aktiviti di dalam kelas," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Meskipun apa dilakukan itu di luar skop kerjanya, Yuslan tetap berpuas hati malah menganggap usahanya berbaloi apabila melihat riak wajah ceria muridnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2024 @ 12:01 PM