Alias Abd Rani


Batu Pahat: Misteri kehilangan ibu tunggal, Mila Sharmila Samsusah, 32, bakal terungkai susulan penemuan rangka manusia tidak sempurna di rumah sewa terbiar di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, hari ini.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, rangka itu ditemui pada jam 2 petang selepas dipandu seorang suspek.

Menurutnya, siasatan ke lokasi mendapati terdapat pakaian ditemui pada rangka terbabit.

"Keluarga Bella sudah dimaklumkan mengenai perkara ini, namun kita belum dapat mengesahkan sama ada ia rangka itu milik wanita terbabit," katanya pada sidang media di lokasi.

Kamarul Zaman berkata, hasil siasatan polis selama 36 hari daripada semua sudut membawa kepada penahanan suspek utama hari ini.

"Penahanan suspek utama kemudiannya dipandu ke lokasi sebelum rangka itu ditemui dalam rumah terbiar.

Lokasi penemuan mayat di rumah sewa terbiar Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, hari ini. FOTO Alias Abd Rani
Lokasi penemuan mayat di rumah sewa terbiar Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, hari ini. FOTO Alias Abd Rani

"Polis sudah mengambil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) daripada kakak dan ibu Bella untuk mengesahkan sama ada rangka itu milik wanita terbabit atau sebaliknya.

"Pada masa sama, polis akan cuba mendapatkan khidmat pakar pergigian untuk memastikan bahawa rangka itu adalah mangsa terbabit (Bella).

"Pengecaman itu bergantung pada DNA paling lewat pun sebulan namun kita perlu segerakan," katanya sambil memaklumkan rangka itu dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru untuk dianalisa.

Bella yang dilaporkan hilang pada malam 14 Disember lalu selepas keluar ke kedai dobi bersama teman lelakinya.

Berita berkaitan:

'Umi dah balik ke belum' - Anak Bella

Teman lelaki Bella dibebaskan

Saya nak jumpa dia hidup-hidup

Bella disyaki diculik, teman lelaki ditahan

Di mana Bella?

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2024 @ 8:39 PM