Alias Abd Rani


Batu Pahat: "Kami terkejut apabila pemandu jengkaut memberitahu jumpa tulang di tepi dan belakang rumah sewa terbiar," kata Mohammad Daniel Saiin, 18.

Dia antara individu yang ditunjukkan lokasi penemuan enam ketul tulang ketika kerja pembersihan tapak di sekitar kawasan terbiar itu.

Menurutnya, pada hari penemuan itu, dia bersama rakan sibuk berniaga ikan di tepi jalan besar sebelum dimaklumkan oleh pekerja pembersihan belukar mengenai penemuan tulang itu.

"Saya dan rakan lihat sendiri di mana tulang itu ditemui, ada di tepi dan juga belakang rumah.

"Boleh dikatakan bersepah-sepah pada ketika itu. Pekerja pembersihan belukar itu kemudian mengumpul kesemua enam tulang sebelum memaklumkan pada polis.

"Petang hari itu juga, polis datang untuk menjalankan siasatan." katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Pekerja kedai ikan itu berkata, tulang itu ditemui tidak jauh dari lokasi penemuan rangka wanita (Bella) tempoh hari.

"Ada kemungkinan ia dimakan haiwan liar sebelum ditinggalkan di situ," katanya.

Hari ini, polis mengesahkan menemui enam tulang iaitu betis, paha dan keting oleh orang awam pada jam 11.30 pagi, 28 Februari lalu.

MOHAMMAD Daniel (baju hitam) dan Mohd Syazrul Danish menunjukkan lokasi penemuan tulang manusia di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah. FOTO Alias Abd Rani
MOHAMMAD Daniel (baju hitam) dan Mohd Syazrul Danish menunjukkan lokasi penemuan tulang manusia di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah. FOTO Alias Abd Rani

Bagaimanapun, polis belum mengesahkan sama ada ia milik Bella atau Mila Sharmila Samsusah, 32, yang mati dibunuh teman lelakinya, Mohamad Haikal Mahfuz pada Disember lalu.

Mohammad Daniel berkata, kawasan itu sebelum ini dipenuhi belukar dan terdapat juga haiwan liar seperti biawak.

Rumah sewa terbiar itu adalah lokasi penemuan rangka Bella selepas 36 hari dilaporkan hilang sejak malam 14 Disember lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2024 @ 2:16 PM