BELLA yang dilaporkan hilang sejak 14 Disember lalu. FOTO NSTP
BELLA yang dilaporkan hilang sejak 14 Disember lalu. FOTO NSTP
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Seorang suspek yang ditahan bagi membantu siasatan kes kehilangan ibu tunggal, Mila Sharmila Samsusah, 32, atau Bella, akan didakwa di Mahkamah Majistret Batu Pahat, esok.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pertuduhan yang akan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh itu dijangka berlangsung 9 pagi.

Suspek berkenaan adalah antara tiga suspek yang ditahan polis bagi siasatan lanjut mengenai kes kehilangan wanita itu termasuk kes penemuan satu rangka manusia tidak lengkap di sebuah rumah sewa terbiar di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, Batu Pahat, 19 Januari lalu.

Bella yang juga ibu tunggal kepada dua anak berusia dua dan empat tahun dilaporkan hilang selepas keluar bersama teman lelakinya berusia 24 tahun untuk ke kedai dobi, pada 14 Disember tahun lalu.

Terdahulu, tiga suspek lelaki termasuk teman lelaki Bella dan bapa saudaranya ditahan kerana dipercayai ada kaitan dengan penemuan rangka yang tidak sempurna terbabit sebelum direman sehingga 27 Januari ini, susulan kes berkenaan.

Berita berkaitan

Penemuan rangka di rumah terbiar milik Bella?

Bella atau bukan? Identiti masih misteri

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2024 @ 6:57 PM