PREMIS milik Muhammad Arif Zainon di Platinum Walk, Setapak.
PREMIS milik Muhammad Arif Zainon di Platinum Walk, Setapak.
Oleh Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Ketika zaman remajanya, Muhammad Arif Zainon Rashid pernah terjebak dalam samseng jalanan atau mat rempit kerana pergaulan dan minatnya menunggang motosikal.

Bagaimanapun, selepas melalui detik ramai dalam kalangan rakan dan kenalannya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya, hatinya dijentik untuk berubah dan meninggalkan aktiviti yang menjadi cemuhan masyarakat itu.

Kini, Arip, 27, tidak lagi berpeleseran di jalan raya sebaliknya fokus dengan perniagaan pakaian jenama sendiri menerusi syarikat miliknya.

Bermula dengan berniaga kecil-kecilan di tapak Bazar Larut Malam (Uptown) Danau Kota, Setapak di sini, perniagaan Arip berkembang dengan pembukaan dua cawangan di Platinum Walk di sini dan Bandar Dato' Onn, Johor Bahru.

Berkongsi kisahnya, Arip berkata, dia hanya berkelulusan Sijl Pelajaran Malaysia (SPM) dan pernah dibuang sekolah gara-gara masalah disiplin.

"Emak paling sedih ketika itu dan selepas tak bersekolah, macam-macam kerja saya mohon tetapi tidak berjaya hingga terpaksa jadi wakil pengedar (dropship) jual ubat kuat walaupun ramai mengata ketika itu.

"Pada masa sama, saya banyak habiskan masa dengan menunggang motosikal dan terbabit dengan aktiviti mat rempit.

"Tapi mengenangkan emak, keluarga pula susah dengan gaji ayah sebagai pengawal keselamatan hanya RM600 dan adik beradik lain masih kecil, saya nekad cari rezeki halal dengan menjual pakaian," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Arip, dia mengumpul wang dan apabila mencukupi, dia mengorak langkah membuka satu persatu cawangan premis menjual pakaian.

Arip berkata, perniagaan pakaian dipilih kerana menyedari rata-rata rakannya dalam komuniti motosikal sukakan baju sama ada untuk berkonvoi atau bergaya dan yakin percaturannya tepat.

"Saya tiada asas dalam perniagaan, hanya belajar daripada rakan dan menonton video di Youtube saja. Dulu saya sasarkan kerja makan gaji sahaja, tetapi Alhamdulillah perniagaan boleh sampai ke tahap yang ada hari ini," katanya.

Di samping itu, Arip juga berharap dapat meluaskan lagi empayar perniagaan dan jenama pakaian keluarannya ke peringkat antarabangsa.

"Alhamdulillah, kerja keras saya kini berhasil apabila dapat meraih pendapatan mencecah enam angka sebulan yang membolehkan saya menyara keluarga.

"Harapan saya supaya dapat melebarkan lagi sayap perniagaan dengan membuka sekurang-kurangnya satu premis di setiap negeri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2024 @ 8:00 AM