RAHSIA Fasha Sandha sering mendapat tawaran sebagai watak utama dalam lakonan.
RAHSIA Fasha Sandha sering mendapat tawaran sebagai watak utama dalam lakonan.
Ridzuan Abdul Rahman

Pelakon popular Fasha Sandha, 38, menafikan dia adalah 'anak emas' sebuah produksi terkenal yang menghasilkan pelbagai drama atau telefilem menarik menghiasi beberapa stesen televisyen tempatan.

Apakan tidak selepas diangkat untuk bekerja sebanyak tiga kali bersama produksi Radius One Sdn Bhd termasuk menerusi drama bersiri terbaru berjudul Khilaf Asmara yang akan menemui penonton TV3 bermula 18 April ini dia lantas meraih gelaran itu.

Bagaimanapun, menurut Fasha menjadi pilihan tidak semestinya anak emas kerana pelbagai faktor lain mungkin menjadi penyebab.

"Mungkin kerana seseorang itu komited beri yang terbaik dan tidak berkira bab promosi dan sebagainya. Istilah itu (anak emas) tak wujud pada saya.

"Setiap produksi pasti akan sayang kepada pelakon dan mereka yang berikan 100 peratus komitmen dan disiplin terbaik, sentiasa bersedia serta tak lokek bab promosi.

"Mungkin itulah yang jadi pilihan. Saya biasa sahaja dan tiada yang menarik pada saya. Biasa-biasa sahaja, dah tua pun dan ada anak tiga," katanya.

Fasha berkata, Khilaf Asmara arahan Shahrulezad Mohameddin berkisarkan mengenai kekeluargaan, kepercayaan, adik beradik dan pengkhianatan.

"Saya bawa watak Hanim, seorang gadis yang periang, ceria dan yang sangat utamakan kasih sayang tetapi dia diuji apabila terlupa berkenaan batasannya sebagai seorang isteri.

FASHA tidak kisah wataknya dibenci penonton.
FASHA tidak kisah wataknya dibenci penonton.

"Dia seorang isteri yang curang terhadap suaminya. Saya bawa watak antagonis dalam drama ini dan setiap watak yang diberikan kepada saya tak semestinya saya akan rasa senang.

"Setiap watak akan ada cabarannya. Saya rasa setiap watak itu harus dibawakan dengan baik tak kisahlah antagonis atau protagonis. Semua kena bagi 'all out'," katanya.

Baginya, watak Hanim akan menjadi tauladan kepada ramai wanita untuk tidak berkelakuan sepertinya.

"Namun setiap perkara yang berlaku ada sebab musababnya. Hanim seorang gadis yang baik dan periang.

Tapi diberikan input oleh ibunya (Amy Mastura) untuk menjadi seorang yang mementingkan wang dan mata duitan.

"Emaknya yang mengajar begitu sejak dia kecil hingga dewasa dan perkara ini sudah terngiang-ngiang di kepalanya. Apapun penonton perlu mengikuti drama ini dari awal untuk mengetahui kesudahannya.

"Saya juga selesa bekerja dengan Ejad. Setiap penerbit ada kelebihan dan kekurangan. Saya ada cara mencorakkan watak. Tapi seperti yang kita tahu Ezad sentiasa memberikan sepenuhnya dan begitu juga diperlihatkan dalam cerita ini," katanya.

Akuinya, dia mulanya agak khuatir melakonkan watak Hanim kerana watak terbabit agak daring.

"Tapi dia akan meninggalkan kesan yang mendalam kepada penonton kerana saya kena buat sehabis baik dan disuruh buat sehabis baik untuk drama ini.

"Malah semua orang antaranya Fahrin Ahmad, Fattah Amin dan Nelydia Senrose berikan yang terbaik. Kami buat latihan bersungguh-sungguh dan saya yakin ia mencapai piawaian yang penonton mahukan.

"Ia akan menusuk dihati penonton. Saya tak kisah sama ada penonton akan benci saya, namun benci atau tidak itu tak penting kerana cerita ini akan datangkan kesan kepada mereka.

LAKONAN 'daring' Fasha sebagai Hanim.
LAKONAN 'daring' Fasha sebagai Hanim.

"Mungkin mereka menyayangi Fasha Sandha tapi mereka akan membenci Hanim. Saya gembira dapat bawa watak ini dan percaya drama akan menjadikan industri kita berbeza," katanya.

Menurutnya, ia secara seimbang menunjukkan bukan lelaki sahaja jahat tetapi juga kaum perempuan.

"Selama ini kita asyik fikir lelaki curang tapi wanita juga sama. Khilaf Asmara akan buka dimensi yang berbeza kepada penonton.

"Saya sukakan watak yang banyak warna seperti psiko dan bipolar yang boleh diwarnai dengan pelbagai cara.

Watak baik sebenarnya juga okey, tapi orang dah tahu ini baik," katanya yang juga duta Seikhlas Hati TV3 bersama Nelydia menerusi drama ini.

Sepanjang Ramadan ini, Fasha masih bekerja bagi menghabiskan slot penggambaran yang masih ada.

"Namun saya bersyukur kerana masih ada masa untuk berbuka bersama suami dan anak-anak serta membeli keperluan raya mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 April 2022 @ 6:00 AM