SOFIAH sudah 26 tahun berkhidmat dalam †bidang perkhidmatan kereta api. - FOTO Ezairi Samsudin
SOFIAH sudah 26 tahun berkhidmat dalam †bidang perkhidmatan kereta api. - FOTO Ezairi Samsudin
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


PERANCANGAN untuk temubual bersama Ketua Operasi Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Kajang, Sofiah Hussien ini tertangguh dua kali kerana kesibukannya menggalas jawatan itu sejak Mac lalu.

Namun, kesudian beliau 'mencuri masa' untuk sesi temubual selama hampir satu jam itu adalah peluang berharga buat penulis kerana dapat bertentang mata dengan individu penting di sebalik kelancaran perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Kajang.

Pertemuan dengannya berlangsung di Pusat Kawalan Operasi, Depoh MRT Sungai Buloh, Selangor, minggu lalu.

Beliau yang memulakan kerjaya dalam bidang perkhidmatan kereta api sejak 26 tahun lalu, antara individu yang bukan sahaja menyaksikan evolusi perkhidmatan itu di negara ini, tetapi juga jangkaan penumpang.

Katanya, jangkaan penumpang terhadap perkhidmatan MRT pada masa ini sangat tinggi dan syarikat sentiasa berusaha untuk memastikan perkhidmatan diberikan adalah terbaik.

"Kami bekerja mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi memastikan kelancaran dan keselamatan penumpang dan pekerja terjamin," katanya selain mengakui ia satu tanggungjawab yang berat.

Menyentuh skop tugasnya, Sofiah berkata, beliau bertanggungjawab memastikan penyampaian perkhidmatan MRT Laluan Kajang adalah cekap dan selamat kepada penumpang sama ada dalam situasi normal atau kecemasan.

"Jika berlaku sebarang masalah, saya perlu segera bertindak dan membuat keputusan supaya masalah dapat diatasi dengan pantas.

"Ini kerana MRT sudah menjadi perkhidmatan awam penting negara dan pilihan utama pengguna.

"Laluan MRT Kajang adalah laluan pertama dilaksanakan di bawah Projek MRT Lembah Klang, sepanjang 46 kilometer (km) yang mempunyai 29 stesen.

PETUGAS tekun memantau operasi MRT Laluan Kajang. - FOTO Ezairi Samsudin
PETUGAS tekun memantau operasi MRT Laluan Kajang. - FOTO Ezairi Samsudin

SOFIAH bersama kakitangan di Pusat Kawalan Operasi MRT di Depoh Sungai Buloh. - FOTO Ezairi Samsudin
SOFIAH bersama kakitangan di Pusat Kawalan Operasi MRT di Depoh Sungai Buloh. - FOTO Ezairi Samsudin

"Jumlah penumpang harian MRT Laluan Kajang pada hari bekerja ialah lebih 200,000 orang. Manakala pada hujung minggu sekitar 130,000 orang," katanya.

Katanya lagi, MRT Laluan Kajang beroperasi selama 18 jam sehari, bermula jam 6 pagi hingga 12 tengah malam.

"Selepas jam 12 tengah malam adalah untuk melakukan aktiviti kejuruteraan seperti kerja-kerja pembaikan trek, sistem isyarat (sistem semboyan) dan sebagainya. Semua ini dalam pemantauan operasi," katanya.

Sofiah yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, tugasnya memerlukan beliau sentiasa 24 jam dalam keadaan peka, bersedia dan mudah untuk dihubungi.

"Ini kerana sebarang masalah boleh berlaku secara tiba-tiba dan memerlukan saya bertindak pantas untuk menyelesaikan masalah berkenaan," katanya.

Katanya, kini tidak lagi timbul isu gender berkaitan wanita berjawatan tinggi dalam syarikat kerana mereka mampu menggalas tugas itu dengan baik.

"Di bawah saya ada 516 kakitangan yang terdiri daripada pelbagai jawatan.

"Mereka yang bertugas di bawah jabatan operasi adalah daripada bidang kejuruteraan elektronik , elektrik, mekanikal, teknologi maklumat, pengurusan dan teknikal," katanya.

Wanita berasal dari Ipoh, Perak ini berkata, seperti pekerja lain, beliau juga tidak terlepas daripada tekanan kerja.

Bagaimanapun katanya, beliau mempunyai pendekatan tersendiri untuk menghilang tekanan itu dengan cara beriadah pada hujung minggu.

"Sistem sokongan yang baik daripada keluarga dan rakan-rakan sekerja turut membantu saya meredakan tekanan.

"Setiap pekerja perlu mempunyai pengurusan masalah yang baik supaya ia tidak menjejaskan kesihatan mental serta emosi," katanya.

Katanya lagi, beliau berharap perkhidmatan awan di Malaysia boleh setanding dengan negara maju.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Julai 2023 @ 7:01 AM