Zaara Talita


Kuala Lumpur : Hantaran Datuk Seri Siti Nurhaliza mengenai Palestin di Instagram kini disekat. Namun, penyanyi itu tidak gusar dan tetap meneruskan usaha untuk membantu rakyat Palestin.

Siti berkata, dia terkilan terkilan apabila perkongsian mengenai nasib umat Islam di Gaza, Palestin mula disekat pihak Instagram.

Menerusi hantaran yang dimuat naik Siti, dia menyeru orang ramai untuk menyalurkan sumbangan ke Tabung Bantuan Khas Palestin.

Menurutnya, usaha yang dilakukan adalah sebahagian daripada tanggungjawabnya sebagai hamba Allah dan belas ihsan sesama saudara Islam.

"Saya tidak ada niat lain, saya hanya hamba Allah yang ada tanggungjawab. Niat saya hanya satu, saya bahagia dapat berkongsi dengan anda yang telah bersama Nurjiwa Foundation membantu saudara kita di Palestin," katanya.

Sementara itu, Siti turut mengucapkan terima kasih kepada penyumbang Tabung Bantuan Khas Palestin melalui yayasan miliknya, Nurjiwa Foundation.

Siti berkata, wakil pihak pengurusan sekolah Afwa Al Afiyyah di Gaza sudah menyampaikan sumbangan buat rakyat Palestin.

Katanya, wakil di sana memaklumkan apa yang termampu kini adalah memberikan bantuan kewangan terlebih dulu untuk setiap keluarga membeli makanan.

"Suasana di sana memang sukar apabila terlalu ramai beratur untuk membeli makanan namun itulah situasinya. Apa yang terbaik dan termampu adalah memberikan bantuan kewangan terlebih dulu supaya mereka mendapatkan keperluan.

"Kami akan terus berusaha menyalurkan sumbangan ini secara berterusan dari semasa ke semasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2023 @ 1:29 AM