UNGU janjikan persembahan terbaik dalam konsert Mayapada Ungu Live In Kuala Lumpur-30 Hits Timeless pada 25 Februari tahun depan.
UNGU janjikan persembahan terbaik dalam konsert Mayapada Ungu Live In Kuala Lumpur-30 Hits Timeless pada 25 Februari tahun depan.
Norhayati Nordin


KUMPULAN Ungu dari Indonesia bukan asing dalam kalangan peminat di negara ini berikutan banyak lagu mereka diminati ramai seperti Demi Waktu, Cinta Dalam Hati, Tercipta Untukmu dan Andai Ku Tahu.

Malah, Ungu juga sudah berkali-kali mengadakan konsert di Malaysia yang mendapat sambutan ramai hinggakan semua anggota kumpulan ini menganggap Malaysia umpama 'rumah kedua' mereka.

Namun, di sebalik kecemerlangan Ungu dalam karier muzik yang bermula pada 1999, penyanyinya, Pasha kini mengorak langkah dalam politik dan sudah berkhidmat sebagai Wali Kota atau Datuk Bandar Palu, Sulawesi Tengah.

Pasha atau nama sebenarnya, Sigit Purnomo Said ketika ditemui baru-baru ini berkata, jadual kerjanya agak padat sekarang antara aktiviti seni dan politik yang memerlukan dia memberi tumpuan penuh serta komitmen.

"Dua-dua bidang ini, seni dan politik amat saya suka serta minat. Jadi, saya sebaik mungkin sedar perlu membahagikan masa dengan teratur supaya ia berjalan lancar dan memudahkan semua pihak.

"Saya aktif dalam politik bermula pada 2016 selepas dipilih berkhidmat sebagai Wali Kota Palu untuk tempoh lima tahun yang berakhir pada 2021. Ia satu tanggungjawab besar yang saya galas untuk kesejahteraan rakyat.

"Jujur, saya gembira menjadi Wali Kota dan berjaya melunaskan tanggungjawab diberi dengan membawa perubahan untuk kawasan Palu seperti menaik taraf infrastruktur jalan raya, pendidikan dan perkhidmatan kesihatan.

"Sekarang pendidikan sangat penting dan bagi menggalakkan kanak-kanak ke sekolah menimba ilmu, maka tiada lagi bayaran yuran dikenakan sebagaimana dulu yang menyukarkan ibu bapa menyediakannya.

SELAIN menyanyi, Pasha aktif dalam politik sebagai Wali Kota Palu.
SELAIN menyanyi, Pasha aktif dalam politik sebagai Wali Kota Palu.

"Biasalah kawasan jauh dari bandar, pasti taraf kehidupan penduduknya rendah dan bukan mudah mengumpul wang bagi menghantar anak ke sekolah apabila perlu membayar yuran bulanan. Jadi, untuk mengelakkan tercicir pendidikan, kini ia beri secara percuma.

"Begitu juga dengan perkhidmatan kesihatan seperti masa operasi klinik dilanjutkan lebih waktu sehingga malam. Kalau tidak sebelum ini, perkhidmatan pusat kesihatan masyarakat (Puskesmas) itu hanya beroperasi sehingga jam 4 petang," katanya.

Ditanya juga pemilihannya dalam politik turut bergantung kepada pengaruhnya sebagai selebriti popular, Pasha berkata, ia adalah rezeki dan semua orang daripada apa saja bidang kerjaya boleh menyertai politik jika berminat.

"Sama ada penyanyi mahupun wartawan dalam bidang media juga berpeluang bertanding dalam politik. Cuma ada keinginan atau tidak saja kerana aktif dalam politik bermaksud kita kena bekerja untuk kesejahteraan rakyat.

"Memang penat sebenarnya, tapi kalau kita minat pada bidang politik, maka jalani saja tanggungjawab untuk rakyat yang digalas. Bahkan perlu bersedia juga dengan pelbagai cabarannya," kata bapa dua anak ini.

Pasha berkata, dia bertuah kerana mempunyai pasukan kerja terbaik yang mempunyai pelbagai idea baharu, kreatif, pantas bertindak dan rajin menghulur bantuan kepada rakyat terutama ketika menghadapi bencana alam.

Puas hati dengan pencapaian dirinya ketika menjadi Wali Kota, Pasha berkata, dia kini menyasarkan untuk sedia bertanding di kerusi Parlimen, sekali gus membawa suara rakyat sebagai calon Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) pada pilihan raya Indonesia, tahun depan.

PASHA bersama barisan kepimpinan parti Amanat Nasional dan sebahagian penyokong di Jakarta pada Oktober lalu.
PASHA bersama barisan kepimpinan parti Amanat Nasional dan sebahagian penyokong di Jakarta pada Oktober lalu.

Ungu idolakan Exists

Selain Pasha, empat lagi anggota Ungu iaitu Enda selaku pemain gitar, Makki (bass), Oncy (gitar) dan Rowman (dram) teruja untuk menjayakan konsert Mayapada Ungu Live In Kuala Lumpur-30 Hits Timeless pada 25 Februari tahun depan di Megastar Arena KL.

Dibawakan penganjur, Icon Entertainment dengan kerjasama penaja utama, AKE Group, Ungu menjanjikan persembahan terbaik mereka, termasuk bersedia menyanyi satu pentas dengan kumpulan pemuzik tempatan.

Ditanya siapa pilihan mereka, Pasha berkata, sekiranya berpeluang dia mahu menyanyi bersama kumpulan Exists kerana sama-sama seangkatan membina karier seni masing-masing pada penghujung 1990-an.

"Saya teringin menyanyi sepentas dengan Exists kerana kami aktif dalam muzik pada tahun sama. Malah, Exists juga popular dan dikenali di Indonesia kerana banyak lagu mereka yang hit. Sejujurnya, Ungu sendiri mengidolakan Exists.

"Kalau Datuk Seri Siti Nurhaliza dan kumpulan Search, kami (Ungu) pernah beberapa kali bekerjasama sebelum ini. Tapi, dengan Exists belum pernah lagi dan saya teringin beraksi dengan mereka," katanya.

Mengulas bagaimana sekiranya diberi ruang menyanyi dengan penyanyi pelapis baharu Malaysia, Pasha berkata, dia okey saja, tetapi yang pasti tidak begitu mengenali mereka kerana sekarang kemunculan penyanyi muda terlalu ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2023 @ 6:20 AM