Vokalis kumpulan Ungu, Pasha ketika sidang media Mayapada Ungu 30 Hits Timeless di Hotel Mandarin Oriental Kuala Lumpur. FOTO AZIAH AZMEE
Vokalis kumpulan Ungu, Pasha ketika sidang media Mayapada Ungu 30 Hits Timeless di Hotel Mandarin Oriental Kuala Lumpur. FOTO AZIAH AZMEE
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur : Penyanyi kumpulan Ungu yang juga wakil Wali Kota atau Datuk Bandar Palu, Pasha sudah bersedia untuk bertanding kerusi Parlimen sebagai calon Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) pada pilihan raya Indonesia, tahun depan.

Pasha atau nama sebenarnya, Sigit Purnomo Said, 44, ketika ditemui berkata, dia sudah melaksanakan tugas Wali Kota Palu disandangnya dengan sebaik mungkin apabila menaik taraf kemudahan utama masyarakat seperti infrastruktur jalan raya, pendidikan, perkhidmatan kesihatan dan sebagainya.

"Alhamdulillah, saya sudah pun selesaikan khidmat sebagai Wali Kota dan sekarang fokus kepada mewakili kerusi di Parlimen pula apabila kempen pilihan raya juga sudah saya jalankan sejak bulan lalu.

"Harapan saya, semoga ada peluang mewakili suara rakyat di Parlimen. Apapun, semuanya terserah pada pemilihan yang akan dibuat oleh rakyat, namun semoga ada rezeki saya," katanya kepada Harian Metro berhubung karier politiknya.

Pasha berkata, banyak perubahan baharu perlu dibuat untuk keselesaan dan kebahagiaan rakyat Indonesia berikutan era masa kini sudah berkembang maju dengan pengaruh teknologi yang meluas dalam kehidupan.

Terdahulu, Pasha bersama empat lagi anggota Ungu iaitu Enda selaku pemain gitar, Makki (bass), Oncy (gitar) dan Rowman (dram) hadir pada sidang media konsert Mayapada Ungu Live In Kuala Lumpur - 30 Hits Timeless, di sini.

Konsert Mayapada Ungu Live In Kuala Lumpur - 30 Hits Timeless bakal berlangsung pada 25 Februari tahun depan di Megastar Arena KL yang dibawakan penganjur Icon Entertainment dengan kerjasama penaja utama, AKE Group.

Mengulas kerjaya seninya bersama Ungu, Pasha berkata, dia akan terus aktif di dalam muzik kerana minat dan ia juga sama sekali tidak mengganggu tanggungjawab digalasnya dalam bidang politik.

"Setakat ini, saya boleh saja aktif bersama Ungu dalam meneruskan aktiviti muzik kami dengan menghasilkan single baru dan terbabit persembahan konsert. Saya tetap dapat memberi komitmen kepada Ungu.

"Anggota Ungu yang lain juga faham dengan tuntutan tugas saya dalam politik dan mereka okay dengan memberikan sokongan serta semangat. Alhamdulillah, buat masa ini semuanya masih tetap lancar," katanya.

Bakal menghiburkan peminat Ungu di negara ini dengan 30 lagu terbaik pernah dirakam, Pasha berkata, dia berharap penjualan tiket konsert mendapat sambutan baik peminat kerana akan menampilkan persembahan mantap.

Ungu yang mula dikenali peminat Indonesia dan Malaysia pada sekitar tahun 1990-an, popular dengan lagu antaranya Kekasih Gelapku, Demi Waktu, Cinta Dalam Hati, Tercipta Untukmu, Andai Ku Tahu dan banyak lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2023 @ 11:23 AM