MASA semakin terbatas sejak dilantik Timbalan Datuk Bandar Palu, Sulawesi Utara.
MASA semakin terbatas sejak dilantik Timbalan Datuk Bandar Palu, Sulawesi Utara.
Ramlah Zainal


Bukan mudah membahagikan masa selepas menceburi dunia politik pada 2016.

Menurut vokalis band popular Ungu iaitu Pasha atau nama sebenarnya, Sigit Purnomo Syamsuddin Said, 39, dia terpaksa membataskan aktiviti seni bersama kumpulan itu sejak dilantik sebagai Timbalan Datuk Bandar Palu, Sulawesi Utara, Indonesia.

“Demi kebaikan Ungu, saya tidak ada masalah sekiranya mereka mencari vokalis lain untuk menggantikan tempat saya sekiranya ada tawaran persembahan pada hari bekerja.

“Sebelum ini pun, saya sentiasa beri peluang kepada Enda dan Oncy untuk sama-sama menyanyi ketika kami menjayakan konsert.

“Ia sebagai persediaan sekiranya saya tidak dapat menyertai persembahan bersama Ungu selepas ini,” katanya.

Selain Pasha, kumpulan Ungu dianggotai Makki selaku pemain bes, Oncy (gitar), Enda (gitar) dan Rowman (dram).

Ditanya sama ada dia akan meninggalkan kumpulan Ungu, Pasha menegaskan tidak sama sekali.

“Kumpulan Ungu tidak akan dibubarkan. Malah, saya juga tidak akan sesekali mengundurkan diri daripada Ungu. Kami tetap akan bersama walaupun masing-masing terikat dengan komitmen lain.

“Namun, jika suatu hari nanti Ungu sepakat untuk mencari vokalis baru, saya akan terima keputusan itu dengan hati terbuka,” katanya.

Pasha ditemui pada rakaman program I Can See Your Voice Malaysia (ICSYVMY) musim pertama yang berlangsung di Sri Pentas 2, baru-baru ini.

Dalam program itu, Pasha tampil sebagai artis jemputan dalam program yang menggunakan konsep dan format asal dari Korea Selatan. Ia bakal bersiaran pada Ogos nanti menerusi saluran NTV7.

Rancang single baru

Lebih setahun tidak muncul dengan lagu baru, Pasha mengakui ramai peminat merindui kemunculan album baru Ungu.

“Sepatutnya, kami tampil dengan single baru bagi mengubat kerinduan peminat.

“Memang kami sudah ada material untuk single baru tetapi projek itu tidak dapat dilaksanakan kerana masing-masing belum ada kelapangan untuk merakamkan lagu terbabit di studio,” katanya.

Pasha juga tidak tahu bila dia mempunyai masa yang sesuai untuk berkumpul dan merakamkan lagu baru terbabit.

“Saya sendiri sibuk dengan bidang politik begitu juga anggota Ungu lain yang sibuk dengan projek muzik masing-masing,” katanya.

Bagaimanapun, kata Pasha, beberapa kumpulan muzik lain di Indonesia juga tidak ada single ataupun album baru untuk peminat ketika ini.

“Sebenarnya, bukan Ungu sahaja yang tiada single baru tetapi banyak kumpulan muzik berpengalaman di Indonesia juga berdepan situasi sama.

“Maklumlah, band lama seperti kami perlu bersaing dengan pemuzik yang mencipta nama menerusi media sosial yang menjadi trend sekarang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Julai 2018 @ 9:30 AM