UNGU dan Lesti teruja dengan single terbaharu mereka.
UNGU dan Lesti teruja dengan single terbaharu mereka.
Najiy Jefri

Selepas hampir lima tahun terbabit dalam politik dan dilantik sebagai Timbalan Datuk Bandar Palu, Sulawesi Tengah pada Julai 2016, Pasha yang juga penyanyi kumpulan Ungu kembali mewarnai industri muzik Indonesia apabila tugasnya sebagai Timbalan Datuk Bandar tamat Februari lalu.

Siapa sangka, kumpulan yang cukup terkenal menerusi lagu Demi Waktu, Tercipta Untukku dan Andai Ku Tahu itu kembali merancakkan industri muzik dengan kemunculan single duet baharu bersama penyanyi dangdut popular, Lesti Kejora berjudul Bismillah Cinta.

Walaupun sudah 25 tahun terbabit dalam muzik, namun kumpulan yang dianggotai Pasha (penyanyi), Makki (bass), Enda (gitar), Oncy (gitar) dan Rowman (dram) itu masih mendapat tempat di hati peminat.

Buktinya single Bismillah Cinta menerima tontonan luar biasa di YouTube dengan meraih 33 juta tontonan dalam tempoh kurang dua bulan.

Pasha berkata, kasih sayangnya bersama Ungu tidak pernah luntur.

"Saya ingin memberitahu bahawa sudah kembali sepenuhnya dengan Ungu. Syukur, syarikat rakaman kami bersetuju untuk mengeluarkan sebuah album baharu dan Bismillah Cinta menjadi single pertama. Memang sudah lama saya tidak menyanyi dan kini kembali dengan single Bismillah Cinta pada Ramadan lalu.

"Kehadiran lagu itu adalah pada waktu yang tepat kerana mesej dalam lagu terbabit bercerita mengenai kebahagiaan umat Islam pada bulan Ramadan, pandemik Covid-19 yang membataskan banyak perkara dan cinta jarak jauh," katanya.

Menurut Pasha, Bismillah Cinta adalah single pertama yang akan dimuatkan dalam album baharu yang akan dikeluarkan tidak lama lagi.

"Setakat ini kami sudah mempunyai lapan buah lagu. Tapi sebagai permulaan kami sebulat suara lancarkan lagu Bismillah Cinta dulu kerana bertepatan dengan bulan Ramadan lalu. Insya-Allah dalam waktu terdekat ini kami akan mula rakam single seterusnya," katanya.

BISMILLAH Cinta memperoleh lebih 33 juta tontonan di YouTube dalam tempoh kurang dua bulan.
BISMILLAH Cinta memperoleh lebih 33 juta tontonan di YouTube dalam tempoh kurang dua bulan.

Sementara itu, Lesti meluahkan rasa teruja apabila diberi peluang untuk berduet dengan kumpulan yang cukup disegani ramai.

"Ibarat mimpi jadi kenyataan. Saya tak sangka diberi peluang untuk berduet dengan Ungu dan ia satu pengalaman yang luar biasa.

"Berada di samping band yang cukup senior membuatkan saya rasa cukup bertuah. Walaupun genre muzik kami berbeza tapi itu bukan penghalang untuk bekerjasama.

"Melihat sambutan baik daripada peminat Ungu dan saya sendiri diharap akan diberi peluang sebegini lagi pada masa depan," kata Lesti yang juga juara program realiti nyanyian D'Academy musim pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Mei 2021 @ 6:40 AM