KUMPULAN band Indonesia, Ungu yang diketuai Pasha ketika persembahan konsert Mayapada Ungu di Mega Star Arena. FOTO Hazreen Mohamad
KUMPULAN band Indonesia, Ungu yang diketuai Pasha ketika persembahan konsert Mayapada Ungu di Mega Star Arena. FOTO Hazreen Mohamad
Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Vokalis kumpulan Ungu, Pasha memberitahu kebanyakan lagu dihasilkan band dari Malaysia pada era 1990-an banyak pengaruh serta inspirasi kepada pemuzik Indonesia.

Pasha membuat pendedahan itu di hadapan ribuan peminat yang menghadiri Konsert Mayapada Ungu Live In Kuala Lumpur - 30 Hits Timeless yang berlangsung di Mega Star Arena, di sini, malam tadi.

Pasha berkata, dia berterima kasih kepada pemuzik di Malaysia kerana menjadi rujukan untuk mereka menghasilkan lagu yang dekat dengan jiwa pendengar.

"Kami harus beri pengakuan kepada warga Malaysia. Muzik Malaysia era 1990-an banyak memberi pengaruh dan inspirasi kepada pemuzik Indonesia.

"Kami ucapkan terima kasih kepada rakan pemuzik di Malaysia kerana sudah beri banyak rujukan kepada kami," katanya.

Lebih istimewa, kumpulan itu turut menyanyikan lagu Mencari Alasan yang dipopularkan band popular tempatan, Exists dan Di Sana Menanti Di Sini Menunggu dendangan asal Ukays.

Segmen itu diadakan sebagai tanda penghargaan kepada band dari Malaysia serta peminat.

"Selain muzik luar contohnya dari Eropah atau Timur Tengah, muzik dan band Malaysia era 1990-an juga banyak beri pengaruh.

"Oleh itu, izinkan kami beri penghormatan kepada semua pemuzik dan rakyat Malaysia dengan lagu khusus ini (Mencari Alasan dan Di Sana Menanti Di Sini Menunggu).

"Terima kasih kepada Malaysia kerana berikan lagu-lagu hebat kepada kita," katanya.

Konsert anjuran Icon Entertainment dan AKE Group itu menyaksikan Ungu tampil dengan seleksi lagu malar segar mereka seperti Cinta Dalam Hati, Kekasih Gelapku, Demi Waktu, Tercipta Untukmu dan Andai Ku Tahu.

Selain Pasha, Ungu yang ditubuhkan pada 1996 di Jakarta ini turut dianggotai oleh Enda (gitar), Oncy (gitar), Makki (Bass) dan Rowman (dram).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2024 @ 12:45 PM