PASHA (tengah) membotakkan kepalanya selepas ditegur Tito.
PASHA (tengah) membotakkan kepalanya selepas ditegur Tito.
Agensi

PENYANYI yang juga wakil rakyat daerah Kota Palu, Indonesia, Pasha Ungu membotakkan kepala selepas ditegur kerana mewarnakan rambutnya dengan warna perang muda.

Teguran itu diberikan Menteri Dalam Negeri, Tito Karnavian yang menurutnya, tindakan mewarnakan rambut itu menyinggung etika pejabat negara atau sebagai penjawat awam.

"Wow. Shaolin lagi kita," kata Pasha dalam video di Instagram Story yang memaparkan dirinya sedang dicukur dan tampil ala Shaolin.

Dalam video yang dimuat naik pada Hari Raya Aidiladha lalu, Pasha atau nama sebenarnya Sigit Purnomo Said sedang dicukur oleh pembantunya, Ifan Taufan.

Tito sebelum itu memberitahu media bahawa tegurannya adalah supaya Pasha menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat.

"Belum ada peraturan (mengenai warna rambut), tetapi sebaiknya sebagai wakil kerajaan, berikan contoh etika yang baik," katanya.

Pasha mewarnakan rambutnya bagi menjayakan rakaman video muzik untuk lagu baru kolaborasinya dengan band dari Kota Palu, Fladica berjudul Jangan Menangis Lagi.

Ia adalah kolaborasi kedua Pasha bersama Fladica dan muzik video lagu itu sudah mula dilancarkan di YouTube.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2020 @ 3:21 PM