MOHD Noah (dua kanan) bersama sebahagian pemandu Mycar selepas sidang media, hari ini. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
MOHD Noah (dua kanan) bersama sebahagian pemandu Mycar selepas sidang media, hari ini. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Saadiah Ismail dan Herizal Amriz Hismat Alang


PEMANDU e-hailing yang terkesan akibat penggabungan Grab dan Uber di Asia Tenggara boleh berdaftar dengan aplikasi e-hailing terbaru iaitu MyCar.

Pengasas MyCar Mohd Noah Maideen berkata, apabila kedua-dua syarikat pengendali e-hailing itu bergabung, pemandu yang berdaftar dengan mereka dilihat tiada hala tuju sekali gus turut memberi kesan kepada pengguna.

Menurutnya, ini kerana pengguna e-hailing di negara ini dianggarkan berjumlah 23 juta, manakala pemandu kira-kira 200,000 orang.

“Jadi dengan kewujudan aplikasi MyCar, sekurang-kurangnya dapat menyelamatkan pemandu e-hailing tidak kira sepenuh masa atau sambilan untuk terus berada dalam industri ini.

“Sejak penggabungan (Grab dan Uber) berkenaan, pemandu e-hailing berdaftar dengan MyCar meningkat sebanyak 11,000 pemandu dan pengguna pula kepada 57,000 orang.

“Maklum balas positif ini jelas menunjukkan aplikasi MyCar adalah perkhidmatan e-hailing yang diterima baik oleh setiap orang," katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

MyCar adalah aplikasi e-hailing terbaru di negara ini yang sudah beroperasi sejak 1 Februari lalu.

Ia milik penuh Platform Apps Sdn Bhd dan dibangunkan melalui teknologi platform terkini dengan kerjasama syarikat teknologi maklumat dari Amerika Syarikat.

Mohd Noah berkata, pendaftaran pemandu e-hailing juga mengikut peraturan ditetapkan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan agensi terbabit demi keselamatan pengguna.

“MyCar menawarkan lima jenis kenderaan mengikut pilihan pengguna iaitu ekonomi, premium, MPV kompak, MPV premium dan teksi dengan kerjasama syarikat teksi lain.

“Selain itu, kita juga akan melaksanakan butang S.O.S untuk menjamin keselamatan pengguna dan pemandu itu daripada sebarang perlakuan jenayah dan sebagainya.

“Ini memandangkan teknologi digunakan boleh menerima kira-kira 40,000 tempahan dalam sehari dan sekurang-kurangnya 6,000 perjalanan di KLIA setiap hari," katanya.

Katanya, MyCar turut memberi kelebihan kepada pengguna dengan menawarkan harga tambang bermula RM5 dan promosi istimewa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) iaitu RM55 sehala.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 April 2018 @ 9:28 PM