PEMANDU teksi. FOTO arkib NSTP
PEMANDU teksi. FOTO arkib NSTP
Samadi Ahmad


Putrajaya: Semua perkhidmatan pengangkutan dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh lanjutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dari 15 Jun sehingga 28 Jun ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong dalam kenyataan berkata, semua perkhidmatan awam termasuk teksi dan e-hailing dibenarkan beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) sepanjang tempoh pelaksanaan ini. Menurutnya, bagi memudah perjalanan, pemandu teksi perlu mendapatkan surat kebenaran beroperasi melalui Sistem Maklumat Industri Logistik (SMILE) di https://application.mot.gov.my.

Katanya, bagi pemandu kenderaan e-hailing pula mereka boleh mendapatkan salinan surat kebenaran Kementerian Pengangkutan yang diberikan kepada pihak syarikat pengendali (e-hailing operator) masing-masing.

"Setiap perkhidmatan teksi dan e-hailing dihadkan kepada kapasiti dua orang iaitu seorang pemandu dan seorang penumpang sahaja.

"Bagi tujuan perubatan seperti janji temu hospital berserta surat pengesahan doktor atau vaksinasi yang disahkan melalui aplikasi MySejahtera atau bagi tujuan kecemasan dibenarkan tiga penumpang termasuk pemandu menaiki sebuah teksi atau kenderaan e-hailing dalam satu masa," katanya.

Wee berkata, bagi pengguna perkhidmatan kenderaan awam dan perkhidmatan rel, mereka perlu mendapatkan kebenaran rentas negeri atau rentas daerah daripada pihak polis sekiranya menggunakan mana-mana mod pengangkutan awam bagi perjalanan yang berkaitan.

Katanya, semua pemain industri yang mendapat kelulusan bawah SMILE bertarikh sebelum 1 Jun boleh memuat turun semula surat pengesahan beroperasi di laman web yang sama tanpa perlu mendaftar semula.

"Kementerian mengingatkan semua pihak termasuk pemandu dan pengguna perkhidmatan pengangkutan awam supaya sentiasa mematuhi SOP ditetapkan termasuk memakai pelitup muka, menggunakan cecair pembasmi kuman dan mengamalkan penjarakan sosial serta mengimbas kod QR MySejahtera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Jun 2021 @ 2:17 PM