SESETENGAH syarikat hanya membiarkan teksi yang tidak digunakan di depoh masing-masing.
SESETENGAH syarikat hanya membiarkan teksi yang tidak digunakan di depoh masing-masing.
Sri Ayu Kartika Amri dan Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Kemerosotan penggunaan teksi sejak 2014 yang diburukkan lagi dengan kesan pandemik Covid-19 menyaksikan kira-kira 70,000 teksi membabitkan nilai kerugian dianggarkan sebanyak RM2.9 bilion tersadai dan menjadi besi buruk.

Yang Dipertua Gabungan Teksi Malaysia Kamarudin Mohd Hussain berkata, sebahagian besar daripada jumlah itu membabitkan pemandu di sekitar Lembah Klang.

Katanya, ketika ini hanya 40,000 daripada 110,000 pemandu teksi seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak masih bertahan dalam industri terbabit.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 60 peratus syarikat teksi gulung tikar selepas pemandu tidak mahu membawa teksi disebabkan tidak mampu membayar sewa teksi akibat kurang sambutan daripada pengguna.

"Kebanyakan pemandu teksi yang berhenti mencari haluan lain seperti berniaga kecil-kecilan, memandu lori, menternak, bertani serta ada yang menjadi penganggur malah bagi yang berusia hanya duduk di rumah bergantung harap kepada ahli keluarga lain," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, implikasi itu disebabkan kemerosotan bilangan pemandu teksi sejak 2014 selepas tiada pengawalan pengoperasian e-hailing dan teksi dengan saksama hingga mewujudkan jurang antara perkhidmatan itu.

"Banyak syarikat cuba bertahan dalam tempoh itu namun keadaan semakin parah pada 2018 dan ada antara mereka terpaksa gulung tikar.

"Disebabkan itu, sesetengah syarikat membiarkan teksi yang tidak digunakan di depoh masing-masing.

"Akhirnya banyak teksi tersadai selain ada yang dilupuskan di premis potong besi," katanya.

Beliau berkata, lebih merugikan jumlah teksi berkenaan termasuk 2,500 jenis eksekutif dan 67,500 jenama tempatan dianggarkan bernilai RM2.9 bilion.

"Ia berdasarkan kiraan kasar sebuah teksi eksekutif berusia lebih empat tahun dianggarkan bernilai RM80,000 sebuah manakala teksi seperti Proton Waja dan Persona bernilai RM40,000 sebuah," katanya.

Menurutnya, pihak berwajib perlu merombak semula dasar sedia ada bagi mengurangkan jurang antara teksi dan e-hailing, sekali gus mewujudkan persaingan sihat dalam industri pengangkutan awam.

"Sudah tiba masanya kerajaan menyerapkan pemain industri yang lebih berpengalaman dan berpengetahuan di dalam unit pembuat dasar untuk memulihkan semula industri ini.

"Kita juga harap tambang teksi dikaji semula kerana kadar yang digunakan pada masa ini dihasilkan melalui kajian kerajaan pada 2014.

"Selain itu, kami merayu kerajaan mengawal selia kadar tambang dan kadar komisyen antara teksi dan e-hailing," katanya.

Kamarudin berkata, bukan sahaja pengguna malah pemandu teksi serta industri juga akan menjadi mangsa jika perkara ini tidak diperbetulkan.

Harga tambang antara e-hailing, teksi perlu seragam

Kemelut jurang tambang antara teksi dan e-hailing akan dapat diatasi jika kerajaan menyeragamkan harga tambang perkhidmatan terbabit.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Pekerja Industri e-Hailing Malaysia, Masrizal Mahidin berkata, sudah tiba masanya kerajaan membuka pintu rundingan dengan semua pemain industri ini supaya dapat mencari penyelesaian dan formulasi terbaik secara tuntas.

Katanya, penyeragaman harga tambang boleh dilaksanakan dengan meletakkan syarat minimum sistem bermeter yang kadar cajnya ditetapkan kerajaan pada sesebuah aplikasi.

"Contohnya setiap 1 kilometer (km) kerajaan tetapkan RM1.25 dan caj untuk minit atau setiap km itu diseragamkan. Itu lebih adil untuk semua kerana sistem meter paling ideal.

"Bagi saya, lebih adil menggunakan meter yang cajnya ditetapkan kerajaan kerana ini perkhidmatan awam, jadi secara keseluruhannya ia akan dapat menyelesaikan kemelut yang berlaku sekarang," katanya.

Menurutnya, bukan hanya pengguna malah sebenarnya pemandu sudah terbeban sejak bertahun lamanya dengan harga tambang yang tidak berpatutan.

"Perkhidmatan e-hailing adalah pasaran terbuka yang berkonsepkan penawaran dan permintaan.

"Dalam dasar e-hailing, kerajaan hanya menetapkan kadar harga diluluskan semasa permit dikeluarkan kepada operator e-hailing iaitu dua kali ganda sahaja, jadi jika tambang itu naik daripada kebiasaan, itu tidak menjadi satu kesalahan kerana masih dalam dasar sedia ada.

"Harga tambang tidak menentu kerana ada surcaj ditetapkan syarikat biasanya bergantung kepada keadaan trafik, cuaca, waktu puncak serta pemandu kurang namun permintaan tinggi dan ia akan mempengaruhi harga tambang," katanya.

Dalam pada itu, Masrizal menganggarkan terdapat kira-kira 100,000 pemandu e-hailing di seluruh negara.

"Setakat April lalu, sebanyak 32 operator aplikasi e-hailing diluluskan Agensi Pengangkutan Awam Darat, sekali gus memberikan banyak pilihan kepada pengguna untuk memilih mengikut kemampuan dan keperluan mereka," katanya.

Menurutnya, kebanyakan pemandu e-hailing juga bekerja untuk dua atau tiga syarikat bagi membolehkan mereka menjana lebih pendapatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mei 2022 @ 12:00 PM