ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa kemalangan. FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa kemalangan. FOTO ihsan Bomba
Amirul Aiman Hamsuddin


Hulu Selangor: Polis mengesahkan terdapat sebuah lagi kereta yang terbabit dalam nahas dua kenderaan di Kilometer 38 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, berdekatan Serendah Golf Resort di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, pihaknya kini sedang mengesan pemandu kereta Proton Wira yang belum dikenal pasti identitinya.

Beliau berkata, selain Proton Wira kemalangan yang berlaku 10.55 pagi itu turut membabitkan Perodua Axia dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza.

"Toyota Avanza dan Perodua Axia dipandu dua lelaki warga emas masing-masing berusia 68 dan 62 tahun.

"Siasatan awal mendapati pemandu Perodua Axia dari Serendah ke Batang Kali. Apabila tiba di lokasi, pemandu Proton Wira yang disyaki dari arah bertentangan cuba memotong kenderaan di hadapannya.

"Pemandu Perodua Axia cuba mengelak lalu melanggar bahagian kanan Proton Wira," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Faizal berkata, akibat pelanggaran itu Perodua Axia kemudian berpusing sebelum datang Toyota Avanza dari arah belakang dan melanggarnya.

"Ekoran kemalangan terbabit, pemandu Perodua Axia bersama penumpang dan pemandu Toyota Avanza maut di tempat kejadian.

"Manakala penumpang MPV itu pula cedera di mata dan dibawa ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut," katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Faizal berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung nahas itu mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian itu, dua lelaki dan seorang wanita maut manakala seorang lagi wanita parah.

Menerusi gambar dan dokumen pengenalan diri yang dikongsikan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, tiga mangsa dikenali sebagai Soo Yoke Siew, 53; Chan Kwai Hoong, 62 dan Rosihat Lemon, 68, manakala identiti mangsa parah belum dikenal pasti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2023 @ 5:37 PM