KARINA dan Nik Nurfaqih bersama anak tunggal mereka, Nik Eusoff.
KARINA dan Nik Nurfaqih bersama anak tunggal mereka, Nik Eusoff.
Oleh Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Siapa sangka di sebalik usianya yang baru enam tahun, Nik Eusoff Nik Nurfaqih tidak hanya boleh bertutur bahasa ibunda malah sudah mengenali beberapa bahasa lain termasuk Tamil.

Nik Eusoff atau mesra disapa Eusoff yang tular selepas rakaman video membaca abjad Tamil dikongsi ibunya di TikTok mula menunjukkan minat terhadap pelbagai bahasa sejak usianya tiga tahun lagi.

Ibunya, Karina Imran, 34, berkata, Eusoff adalah anak tunggal dan minatnya dalam bahasa lain disedari apabila secara 'tiba-tiba' menghafal abjad jawi, selepas menonton video di YouTube.

"Bukan setakat menghafal, tulis pun boleh, itu ketika umurnya tiga tahun.

"Kami pun terkejut sebab tak pernah ajar kerana pada awalnya nak bagi dia fokus kepada abjad ABC dulu.

"Selepas Jawi, dia hafal abjad Rusia pula, kemudian Georgia, sekarang tiba-tiba dah hafal abjad Tamil," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Karina berkata, Eusoff turut dihantar ke kelas bahasa Mandarin sejak usianya lima tahun lagi sebagai persediaannya memasuki Sekolah Jenis Kebangsaan Cina berdekatan rumahnya.

Menurutnya, setiap hari dia akan cari dan buka video Mandarin bersesuaian yang boleh ditonton untuk beri pendedahan kepada Eusoff.

"Apa yang kelakarnya, jiran sebelah beritahu mereka terkejut kerana setiap hari dengar suara video Mandarin dari rumah saya.

"Bulan lalu, Eusoff menangis nak belajar bahasa Tamil pula dan mulanya saya tak ikut permintaannya kerana bimbang dia keliru apabila belajar banyak bahasa.

"Oleh kerana tak ikut permintaannya, Eusoff jadi 'moody' seharian dan sebab itu, saya turutkan permintaannya dengan beri tonton video video selain memuat turun aplikasi permainan video Tamil.

"Eusoff tak fasih bercakap cuma nampak dia cepat tangkap perkataan tertentu," katanya.

Karina berkata, dia dan suami akan menyokong apa jua minat Eusoff yang boleh membantu perkembangan mindanya.

Dia berkata, Eusoff kanak-kanak yang ceria dan aktif sejak kecil cuma pada awalnya lambat bercakap.

Katanya, pada usia dua tahun barulah Eusoff dapat menyambung tiga ke empat perkataan sekali gus.

"Apa yang pelik, sebahagian rambut Eusoff mula beruban sejak dia berumur tiga tahun.

"Disebabkan itu, saya dan suami bawa Eusoff berjumpa pakar dan disahkan bukan autisme namun perlu menjalani beberapa ujian membabitkan kromosom dan genetik untuk tahu jika ada masalah lain," katanya.

Karina berkata, perkembangan Eusoff dan segala aktivitinya turut dikongsi di TikTok dan Instagram (IG) untuk dijadikan memori peribadi.

"Tak sangka pun akan tular hingga ada yang nak tahu perkembangannya termasuk rakan sepejabat.

"Cuma, saya berharap perkongsian video itu sedikit sebanyak dapat membantu ibu bapa lain yang mungkin mempunyai anak seperti Eusoff," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2023 @ 7:02 AM