Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: "Dia boleh cakap Bahasa Tamil? Betul?"

Itu reaksi pelakon, Kenchana Devi itu mencuit hati pengguna Twitter apabila dia dilihat terkejut dengan kemampuan pelakon, Keith Foo bertutur dalam Bahasa Tamil.

Dalam video yang dimuat naik Keith di TikTok, mereka kemudiannya meneruskan perbualan dalam Bahasa Tamil dan jelas kelihatan rasa kagum di wajah Kenchana.

Mereka muncul sebagai tetamu jemputan dalam program Tapau Show #KasiViral yang diacarakan Afieq Shazwan dan Nen Tebabo.

Video yang dimuat naik sejak dua hari lalu itu kini ditonton hampir 900,000 tontonan di platform media sosial itu.

Dalam ruangan komen, ternyata masih ada peminat yang tidak tahu bahawa Keith adalah pelakon berdarah campuran Cina dan India.

"Saya ingat Keith Foo campuran orang putih dengan Cina. Sekarang, saya tahu, dia rupanya 'Chindian'," tulis seorang pengguna Twitter.

"Saya rasa, Keith Foo boleh buat 'content' bercakap Bahasa Tamil dan Mandarinlah," komen seorang lagi pengguna Twitter.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 September 2022 @ 12:02 PM