VANESSA mahu cipta nama pada program nyanyian Sing! China, sibuk persiap diri.
VANESSA mahu cipta nama pada program nyanyian Sing! China, sibuk persiap diri.
Georgie Joseph

MENGISI profil kerjaya seninya, penyanyi Vanessa Reynauld kini dalam misi membawa nama Malaysia bertanding untuk program nyanyian besar iaitu Sing! China 2023.

Vanessa, 23, yang fasih bertutur Mandarin bahkan memulakan langkah dengan cukup membanggakan pada peringkat 'Blind Audition'.

Empat mentor program terbabit Emil Chau, Joker Xue, Will Pan dan Henry Lau berpusing dari kerusi kerana nyanyian hebat dipamerkan. Videonya juga tular dan mendapat tontonan tertinggi untuk episod itu.

Menerima pujian dan sokongan luar biasa baik peminat tempatan dan rakyat China, semangat Vanessa semakin meluap-luap untuk terus mara hingga ke peringkat akhir.

"Tanpa harapan tinggi awalnya, kini saya semakin berkobar untuk teruskan perjuangan kalau boleh hingga final. Saya tidak sangka sokongan diterima akan sehebat itu.

"Lagipun sudah namanya pun pertandingan, jadi kenapa saya tak nak menang? Saya bukan saja melakukan ini untuk diri-sendiri. Tapi saya membawa nama Malaysia dan semestinya ingin harumkan negara," katanya.

Sempat pulang sebentar ke sini baru-baru ini, jadual Vanessa terikat dengan program itu kian ketat. Selepas episod uji bakat, dia perlu persiapkan diri untuk peringkat seterusnya pula termasuk 'battle'.

Berkongsi pembabitannya dalam program itu, anak jati Klang berkenaan mendedahkan dia sebenarnya hampir terlepas peluang keemasan itu. Namun, ternyata rezeki itu sudah tertulis buatnya.

"Penerbit program itu sebenarnya menghantar mesej kepada saya sejak Januari. Tapi saya cuma terbaca mesej itu pada bulan April dan fikir saya sudah tiada harapan.

"Rupanya, saya masih sempat diselitkan pada slot uji bakat dalam talian yang terakhir. Itupun saya ingat sampai sana saja. Tapi selepas itu diminta untuk terbang ke China pula," katanya.

Vanessa sebenarnya sudah berada di China lebih dua bulan demi komitmen Sing! China 2023. Katanya dalam proses itu, jadual mereka sangat padat dengan pelbagai agenda termasuk latihan menyanyi secara intensif.

"Pada bulan pertama iaitu Jun lalu, saya diuji menyanyi pelbagai jenis lagu bagi mencari lagu terbaik yang sesuai dengan nyanyian saya. Kami ada jurulatih vokal yang membantu perkemas lagi nyanyian.

"Selepas itu, sepanjang Julai pula memang kami habiskan dengan rakaman peringkat uji bakat depan mentor dan penonton. Saya sangat seronok dapat terbabit program yang begitu teliti itu," katanya.

Menghimpunkan penyanyi-penyanyi sekitar Asia yang sudah ada kerjaya seni, Vanessa akui dia perlu mengikut ketetapan yang dibuat bagi menyesuaikan kehendak program berkenaan.

Ia termasuklah pembawaan diri serta penampilannya. Menurutnya, dia perlu bermula daripada bawah ibaratnya dia masih penyanyi mentah supaya transisinya kelak nampak jelas.

"Saya kan sudah biasa melaram dengan penampilan glamor setiap kali naik pentas. Saya ada beritahu pihak produksinya penampilan bagaimana yang saya mahu untuk peringkat uji bakat itu.

"Sebaliknya, produksi menolaknya dan meminta saya tampil ringkas saja. Disebabkan itulah saya cuma memakai baju panas dan jeans. Mereka ingin nampakkan kemajuan demi kemajuan dapat saya tunjukkan pada peringkat seterusnya," katanya.

BERAZAM akan terus tarik peminat tempatan mengikutinya.
BERAZAM akan terus tarik peminat tempatan mengikutinya.

Kerjaya di Malaysia tetap nombor satu

Dengan pendedahan diterima, tidak mustahil Vanessa juga pasti mampu melakar kerjaya seni di China pula selepas ini. Menerusi pembabitan dalam program itu, kakinya sudah selangkah ke hadapan.

Dia akui memang berhasrat kembangkan kariernya juga di sana jika jalannya terbuka luas nanti. Apapun, menurutnya dia masih ada misi besar untuk kukuhkan namanya di Malaysia.

"Kita tengoklah bagaimana selepas pertandingan. Kalau memang banyak permintaan dan mampu bina kerjaya di sana, saya akan pertimbangkan dan tak kisah berulang-alik ke China selepas ini.

"Apapun, saya tetap nak utamakan kerjaya di Malaysia. Ini kerana, saya mahu peminat tempatan kita sukakan diri saya dulu. Barulah saya boleh bagi orang luar suka saya pula," katanya,

Dalam pada itu, Vanessa baru saja melancarkan lagu baharunya berjudul Igau. Karya nukilan penyanyi Naqiu itu masih mengekalkan rentak balada dan cukup kuat melodinya.

"Saya masih memilih balada kerana itulah kekuatan yang perlu saya terus lekatkan pada corak nyanyian. Saya harap Igau mampu mendapat tempat dalam hati pendengar kerana lagu itu sangat kuat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2023 @ 6:00 AM