TIDAK mempunyai pengalaman bercinta, Vanessa akui sukar dalam Igau.
TIDAK mempunyai pengalaman bercinta, Vanessa akui sukar dalam Igau.
Zaara Talita


VANESSA Reynauld yang kini menjadi bualan hangat dalam komuniti siber atas kejayaan ke peringkat seterusnya untuk program 'Sing! China 2023 di Shanghai, China.

Kemunculan gadis kacukan Cina dan India ketika mendendangkan lagu Riding The Wind nyanyian asal David Huang dalam bahasa Mandarin berjaya memukau empat juri profesional, malah mereka turut berebut mahukan Vaneessa sebagai anak didik.

Terbaru, anak muda berusia 23 tahun ini tampil dengan single terbaru berjudul Igau. Lagu ini telah mendapat sentuhan istimewa daripada penyanyi dan pengubah lagu iaitu Naqiu.

Menurut Vanessa, lagu ciptaan Naqiu itu mempunyai keunikan dan keistimewaan tersendiri untuk dirinya. Manakan tidak, ia diciptakan khas untuk Vanessa dengan mengambil kira aspek kesesuaian vokal yang sangat unik dan luar biasa.

Selain itu, Vanessa dan Naqiu pernah mempunyai lagu duet bersama iaitu Rindu Separuh Nyawa sebagai runut bunyi rasmi untuk drama 2021 dan pencapaian lagu itu telah memperoleh dua kali Anugerah Platinum daripada hasil jualan strim digital di seluruh negara.

"Saya sangat teruja melancarkan single ini apabila dapat tahu lagu ini diciptakan khas untuk saya. Sebelum ini saya pernah bekerjasama dengan Naqiu, kami berduet menerusi lagu Rindu Separuh Nyawa yang dijadikan sebagai runut bunyi rasmi untuk drama tempatan.

"Sejak itu, Naqiu merasakan saya mampu menyampaikan lagu yang 'power vocal' dan menonjolkan lagi kebolehan vokal saya sehinggalah dia membuat keputusan untuk ciptakan lagu ini," kata Vanessa.

Tambahan pula, penyanyi yang memenangi kategori Artis Baru Terbaik di acara Anugerah Industri Muzik 23 (AIM 23) itu masih mengetengahkan genre balada rock dan kisah cinta namun mengangkat jalan cerita berbeza berbanding lagunya sebelum ini.

"Konsep kali ini menekankan elemen lagu cinta dan jiwang. Selain itu, lagu ini mempunyai cabaran dalam menyampaikan vokal kerana ia mempunyai perbezaan berbanding sebelum ini.

"Bagi yang masih bujang atau belum pernah bercinta, lagu ini sesuai untuk mereka kerana ia mengisahkan seseorang yang memimpikan kekasih yang boleh dijadikan pasangan hidup seterusnya melengkapi antara satu sama lain.

"Saya sendiri sebelum ini pun tidak pernah mempunyai pasangan bercinta dan Naqiu pun tahu perkara ini," katanya.

Ini adalah salah satu cabaran kepada Vanessa kerana sukar untuk kaitkan kisah cinta dalam lagu dengan diri sendiri.

Bagaimana pun, Naqiu menciptakan naskhah ini yang boleh dikaitkan dengan Vanessa supaya proses rakaman untuk menjiwai dan mendalami makna baris dalam lagu ini berjalan dengan lancar.

"Sebenarnya lagu ini boleh ditafsirkan mengikut perspektif perempuan mahupun lelaki kerana kita semua adalah manusia yang mempunyai perasaan dan fitrah kehidupan yang mahukan pasangan yang boleh melengkapi antara satu sama lain.

"Kadang kala kita mahukan pasangan yang terlalu sempurna sehingga kita lupa kebahagian terletak pada kesesuaian pasangan itu sendiri bukan pada kesempurnaan semata-mata dan ini adalah prinsip yang Vanessa terapkan dalam diri untuk berimaginasikan dalam menyampaikan lagu ini," kata penyanyi kelahiran Klang, Selangor ini.

Dalam pada itu, Vanessa mendedahkan bahawa lagu Igau sebenarnya sudah dihasilkan sekitar setahun yang lalu dan memerlukan persiapan rapi agar dapat diterima semua.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2023 @ 6:47 AM