Muhamad Salleh (kanan) bersama isteri dan anaknya melihat gambar kenangan Allahyarham Muhammad Hafiz. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Muhamad Salleh (kanan) bersama isteri dan anaknya melihat gambar kenangan Allahyarham Muhammad Hafiz. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


Sungai Petani: "Walaupun kejadian sudah lebih seminggu berlaku, kami sekeluarga terasa sangat (rindu)," kata Muhamad Salleh Othman, 57.

Muhamad Salleh adalah bapa kepada Allahyarham Muhammad Hafiz, 32, penghantar makanan yang maut dalam nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.

Dalam kejadian itu, 10 individu maut selepas pesawat dinaiki lapan mangsa termasuk Exco kerajaan negeri Pahang Pahang, Datuk Seri Johari Harun terhempas berhampiran kawasan perumahan Elmina.

Kejadian itu turut menyebabkan Muhammad Hafiz yang ketika itu dalam perjalanan menghantar makanan, manakala seorang pemandu e-hailing, Sharipuddin Shaari, 53, turut maut.

Muhamad Salleh berkata, dia mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang tidak putus-putus mengunjungi rumah keluarganya sejak anak sulungnya meninggal dunia.

Katanya, dia sempat mengunjungi pusara anaknya di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Huda, Kampung Jerung, di sini, pada Jumaat lalu selain melayan tetamu yang datang ke rumahnya.

"Arwah lain daripada yang lain, tapi saya tak boleh nak cakap sebab sedih. Bukan senang nak lupakan dia, ambil masa juga," katanya.

Terdahulu, keluarga itu dikunjungi Skuad Perkeso yang mengiringi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Sri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed menyampaikan Faedah Pengurusan Mayat (FDM), hari ini.

Sementara itu, Muhamad Saleh berkata, majlis perkahwinan anaknya, Noorhidayah, 30, pada Sabtu lalu berjalan lancar dan ramai tetamu yang hadir.

Katanya, arwah sepatutnya pulang ke rumah pada 20 Ogos lalu untuk majlis perkahwinan adik keduanya itu, namun tidak menyangka tragedi itu berlaku.

"Kami mengadakan majlis tahlil untuk arwah sejak malam kejadian sehingga Sabtu lalu, malah rakan-rakan arwah di Shah Alam turut mengadakan bacaan tahlil di sana," katanya.

Sementara itu, adik arwah, Norhikmah, 26, berkata arwah abangnya menjadi tempat adik-adik mendapatkan nasihat dan pandangan jika mereka mempunyai masalah.

"Memang abang seorang yang baik dan kalau saya nak apa-apa nasihat, saya akan cari dia dulu.

"Sepatutnya dia balik majlis kenduri ini meriah, tapi kami reda dengan apa yang berlaku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2023 @ 3:52 PM