PETUGAS Perhilitan di Unit Harimau Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai, Perak membersihkan kandang harimau belang. FOTO L MANIMARAN
PETUGAS Perhilitan di Unit Harimau Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai, Perak membersihkan kandang harimau belang. FOTO L MANIMARAN
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Sungkai: "Sedikit kecuaian atau ketidakpatuhan pada isu keselamatan ketika bertugas boleh mengundang malapetaka," ujar Ketua Unit Harimau Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan), Nik Mohd Zamani Awang.

Beliau yang juga Penolong Pegawai Hidupan Liar Kanan NWRC bertanggungjawab menjaga 14 ekor harimau Malaya (Panthera tigris jacksoni) yang ditempatkan di 5 kompleks di NWRC Sungkai di sini.

"Saya dibantu lapan petugas Perhilitan lain yang memfokuskan kesihatan, usaha pemuliharaan dan pembiakan spesies terancam ini.

"Mengikut rutin ditetapkan, tugasan pagi dimulakan dengan pemantauan keselamatan terlebih dahulu ke setiap kurungan harimau bagi memastikan pintu kandang dalam keadaan berkunci.

"Petugas kemudian akan melakukan pemeriksaan fizikal (dari luar kandang) terhadap keadaan Harimau Malaya ini, sama ada terdapat luka atau tidak sihat," katanya ketika ditemui wartawan Harian Metro.

Beliau berkata, petugas kemudian akan mencatat rekod keadaan kesemua Harimau Malaya di dalam kurungan.

"Mereka kemudian akan masuk ke dalam kandang selepas harimau dikeluarkan dari kurungan malam. Ini bagi membolehkan tugas mencuci najis dan air kencing harimau dilakukan.

SEJUMLAH 14 ekor Harimau Malaya kini di bawah jagaan Unit Harimau NWRC, Sungkai.
SEJUMLAH 14 ekor Harimau Malaya kini di bawah jagaan Unit Harimau NWRC, Sungkai.

"Ada harimau tertentu kemudian akan dilepaskan ke laman senam iaitu kawasan hutan terbuka yang dikelilingi pagar besi setinggi hampir 5 meter.

"Harimau Malaya akan dibiarkan mandi di dalam kolam disediakan atau memburu babi serta kambing disediakan bagi membolehkan spesies pemangsa ini tidak melupakan habitat asal," katanya.

Nik Mohd Zamani berkata, petugas Perhilitan kemudian akan menyediakan makanan harimau Malaya yang akan diberikan bermula jam 3 petang ke atas setiap hari.

"Jumlah makanan adalah antara lima hingga tujuh peratus dari berat badan harimau berkenaan. Terdapat tiga jenis makanan pilihan diberikan iaitu ayam siap dipotong, daging lembu atau kerbau dan tulang lembu.

"Menu ini akan ditukar setiap hari oleh petugas di unit harimau ini. Bagaimanapun, harimau di bawah jagaan kami tidak akan diberikan makan pada hari Sabtu. Antara sebabnya adalah bagi mengelak masalah obesiti.

"Ini berikutan harimau di hutan tidak semestinya makan setiap hari dan perlu memburu. Oleh itu, aktiviti memperkayakan habitat dan memastikan harimau Malaya kekal aktif melalui aktiviti memburu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2023 @ 7:00 AM