SALAH seorang penumpang yang mengalami kecederaan dalam kemalangan di Segamat. FOTO Ahmad Ismail.
SALAH seorang penumpang yang mengalami kecederaan dalam kemalangan di Segamat. FOTO Ahmad Ismail.
Ahmad Ismail.

Segamat: Seorang kanak-kanak maut selepas sebuah bas henti-henti terbabit kemalangan dengan sebuah lori tangki di Bandar Chaah, di sini, pagi tadi.

Dalam nahas kira-kira jam 7.10 pagi itu, kanak-kanak lelaki, 10, disahkan meninggal dunia ketika sedang diberikan rawatan di sebuah klinik Kementerian Kesihatan (KKM) berhampiran.

Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labis Pegawai Bomba Kanan (PBK) 11 Hairishah Wahid berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 7.13 pagi.

"Menurut laporan awal, kemalangan membabitkan sebuah bas henti-henti membawa 3 penumpang yang dipercayai baharu keluar simpang berhampiran sebuah lampu isyarat dirempuh di bahagian tengah oleh sebuah lori tangki dari arah Chaah ke Yong Peng.

"Seorang penumpang wanita berusia 45 yang juga ibu kanak-kanak berkenaan patah kaki kanan sementara seorang lagi wanita mengalami sakit di bahagian dada serta sesak nafas," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Katanya, kedua-dua pemandu lori dan bas masing-masing berusia 65 dan 62 tahun mengalami kecederaan parah di kepala.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Julai 2023 @ 11:13 AM