Ahmad Ismail.


Segamat: Pemandu lori tangki yang tidak mengendahkan lampu merah hingga menyebabkan kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dan mencederakan empat yang lain mempunyai dua rekod lampau kesalahan lalu lintas.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata kesalahan itu membabitkan kegagalan mengawal kenderaan yang dilakukan pada Mei tahun lalu dan membawa muatan berat pada Januari lalu.

Katanya, reman terhadap pemandu berusia 62 tahun itu tidak dapat dilakukan ketika ini kerana keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan.

"Pemandu berkenaan mengalami pendarahan otak selain kecederaan pada bahagian tengkuk dan patah rusuk masih dirawat di Zone Merah Hospital Daerah Segamat (HDS).

"Keadaan itu menyebabkan ujian saringan air kencing terhadap pemandu terbabit juga belum dapat dilakukan," katanya ditemui di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam tujuh pagi semalam, seorang kanak-kanak juga pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Bandar Segamat, Eswaranbas henti-henti dinaiki mangsa dilanggar lori tangki di kilometer 138.3 Jalan Johor Bahru – Seremban, Bandar Chaah, Segamat.

Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila lori tangki dari arah Segamat menghala ke Johor Bahru itu gagal mematuhi lampu isyarat merah di simpang empat jalan berkenaan.

Lori tangki itu kemudian merempuh bahagian sebelah kanan bas yang sedang keluar dari simpang berkenaan menghala ke Segamat.

Selain kanak-kanak itu, dua lagi penumpang wanita termasuk ibu mangsa, M. Kaladevi, 43, patah kaki manakala pemandu bas seorang lelaki berusia 59 tahun cedera pada bahagian kepala dan badan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Julai 2023 @ 2:24 PM