Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Pendedahan kisah pengorbanan wanita Cina memelihara bayi perempuan berlainan bangsa dan agama menobatkan Penolong Pengarang Berita Harian Metro (HM), Yusmizal Dolah Aling sebagai pemenang utama Hadiah Kewartawanan Malaysia-MPI Petronas 2022, malam ini.

Lebih bermakna apabila Hadiah Kajai itu dibawa pulang selepas 30 tahun HM meraihnya menerusi laporan 'Kakakku penyelamatku' oleh Rasid Rahaman dan Hamid Karim pada 1993.

Dengan kemenangan itu, Yusmizal membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM30,000, trofi serta sijil.

Laporan berita bersiri, 'Terima Kasih Laoshi', 'Hadiah Raya Paling Bermakna', 'Rohana Abdullah kini warga Malaysia' dan 'Sanjung Budi Laoshi' memaparkan kemurnian hati dan kasih sayang Chee Hoi Lan, 83, yang memelihara Rohana Abdullah sejak berusia dua bulan lagi.

Kisah mereka mengundang reaksi pelbagai pihak yang memuji sikap murni Chee yang turut berusaha mengekalkan Rohana dengan agama asal, Islam sehingga hari ini.

Selain Yusmizal, HM mengungguli beberapa kategori lain iaitu pemenang perak Penulisan Kolum/Rencana Pengarang Cemerlang menerusi laporan 'Senjakala dan A', 'Epilog cinta Ramanathapuram' serta 'Aku dan 'suvarnabhumi' oleh Ketua Penyunting, C Ramasamy.

Pereka grafik HM, Mohd Fahmy Mohd Hashim juga memenangi perak Kategori Infografik Terbaik, dengan kedua-dua mereka dihadiahkan wang tunai RM1,500 beserta sijil.

Dalam pada itu, Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST) Farrah Naz Abd Karim memenangi emas bagi kategori Laporan Berita Cemerlang dan wartawan Berita Harian (BH) memperoleh gangsa bagi kategori sama.

NST juga diumumkan pemenang perak bagi kategori Kewartawanan Alam Sekitar Cemerlang-Petronas menerusi laporan oleh Elena Simala Koshy, sementara jurugambar Mohamad Asyraf Hamzah memenangi gangsa bagi Kewartawanan Foto Cemerlang.

Sementara itu, TV3 mendominasi kategori Berita Video Terbaik dengan merangkul tempat pertama hingga tempat ketiga selain tempat pertama Dokumentari Video Terbaik.

Pemenang emas bagi setiap kategori masing-masing menerima wang tunai RM10,000 dan sijil.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dihadiri Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dan timbalannya Teo Nie Ching; Pengerusi Malaysian Press Institute (MPI) Datuk Dr Chamil Wariya dan Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Petronas, Liza Mustapha.

Hadir sama Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman, Pengarang Kumpulan Harian Metro Husain Jahit dan Timbalan Pengarang Kumpulan Berita Harian M Thillinadan.

PEMENANG anugerah BH, HM, NST pada malam anugerah Hadiah Kewartawanan Malaysia-MPI Petronas 2022 FOTO Saifullizan Tamadi
PEMENANG anugerah BH, HM, NST pada malam anugerah Hadiah Kewartawanan Malaysia-MPI Petronas 2022 FOTO Saifullizan Tamadi

Berikut senarai pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2022

Hadiah Kajai: Yusmizal Dolah Aling (Harian Metro)

Anugerah Khas: James Alexander Ritchie (New Sarawak Tribune)

Tokoh Media: Datuk Henry Lau Lee Kong (Borneo Post Sdn Bhd)

Laporan Berita Cemerlang: Farrah Naz Abd Karim (New Straits Times)

Berita Video Terbaik: Juliana Sharin, Mohd Jufri Mohd Judin (TV3)

Laporan Radio Terbaik: Rosdi Omang (NasionalFM)

Kewartawanan Multimedia Cemerlang: Lee Long Hui, Ooi Choon Nam, Yan Jing Tian, Syariman Badrulzaman, Andrew Ong Kok Heng, Raveena Preet Kaur Nagotra (Malaysiakini)

Dokumentari Video Terbaik: Chirstine Lee Mei Chin, Mohd Zahril Abdullah (TV3)

Kewartawanan Alam Sekitar Cemerlang-Petronas: Wong Siew Lyn, Law Yao Hua, Masjalizah Hamzah, Lee Kwai Han, Yeong Hui Jin, Ushar Prakash Kaur Daniele (Macaranga)

Kewartawanan Penyiasatan Cemerlang: Aliza Shah Muhammad Shah (The Star)

Penulisan Kolum/Rencana Pengarang Cemerlang: Martin Prasad Vengadesan (Malaysiakini)

Hadiah Wartawan Muda A Samad Said Ismail-TV: Andy Reza Rohafiam Khairul Anwar (RTM)

Hadiah Wartawan Muda A Samad Said Ismail-Cetak: Sandhya Menon (The Star)

Penulisan Rencana Cemerlang: Nurul Isnaini Mohd Muslim (Bernama)

Kewartawanan Esei Foto Cemerlang: Mohd Adlan Mat Sidek (Malaysia Gazette)

Kewartawanan Foto Cemerlang: Mohamed Sairien Mohamed Nafis (The Vibes)

Desain Halaman Pertama Terbaik: Tung Eng Hwa (Majoriti7)

Infografik Terbaik: Mohamad Sany Misnan (Utusan Malaysia)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2023 @ 10:49 PM
ANWAR menyampaikan anugerah kepada Yusmizal yang dinobatkan pemenang Hadiah Kajai pada Hadiah Kewartawanan Malaysia-MPI Petronas 2022. FOTO Saifullizan Tamadi
ANWAR menyampaikan anugerah kepada Yusmizal yang dinobatkan pemenang Hadiah Kajai pada Hadiah Kewartawanan Malaysia-MPI Petronas 2022. FOTO Saifullizan Tamadi