Datuk Dr Chamil Wariya
Datuk Dr Chamil Wariya
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Sebanyak 30 badan korporat, agensi kerajaan tampil menghulurkan sumbangan tajaan berjumlah RM390,000 untuk menjayakan Malam Wartawan Malaysia (MWM) 2021 yang dijadualkan berlangsung pada 30 November ini.

Pengerusi Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya berkata, pihaknya mengundang Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob sebagai tetamu kehormat pada malam meraikan pengamal media tanah air itu.

Beliau berkata, ia cukup bermakna bermakna kerana Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) genap berusia 40 tahun.

"Bergerak ke hadapan pasca pandemik Covid-19, setelah kita berada di fasa endemik, kita harap program mengiktiraf karya kewartawanan yang cemerlang ini dapat kita kembalikan ke tempat asalnya pada 2022.

"Penyertaan untuk Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2021 sudah dibuka dan kita berharap penyertaan tahun ini akan meningkat berbanding 2020," katanya pada majlis penyerahan tajaan di ibu negara, hari ini.

Hadir sama, Ahli Lembaga Pemegang Amanah MPI; Datuk Mustapa Omar, Datuk Yong Soo Heong dan Dr Mohd Safar Hasim.

Beliau berkata, selain menerima sumbangan untuk menjayakan MWM 2021, majlis itu diadakan untuk menerima tajaan sebanyak RM300,000 yang akan diberi kepada pemenang HKM MPI-Petronas 2020.

Menurutnya, bagi tempoh tiga tahun mendatang, 18 kategori dipertandingkan dengan tiga pemenang emas, pemenang perak dan pemenang gangsa.

"Pemenang emas membawa pulang RM10,000, pemenang perak RM1,500 dan pemenang gangsa RM1,000, selain sijil dan trofi.

"Saya ingin memaklumkan bahawa untuk HKM 2020, 228 orang pengamal media di alam maya dan di alam nyata mengambil bahagian. Berbanding dengan HKM 2019, terdapat penurunan sebanyak 26 peratus atau 80 penyertaan.

"Bagi HKM 2019, 308 wartawan mengambil bahagian. Sebelum itu, untuk HKM 2018, 267 orang mengambil bahagian," katanya.

Beliau berkata, penurunan bilangan penyertaan adalah daripada tiga kategori iaitu Kewartawanan Foto Cemerlang, Foto Esei Cemerlang dan Infografik Terbaik.

Menurutnya, turut menyumbang kepada kemerosotan adalah bagi dua kategori tidak lagi dipertandingkan iaitu kewartawanan Antarabangsa Cemerlang yang digabungkan dengan kategori Penulisan Rencana Cemerlang dan Kartun Editorial Terbaik yang ditiadakan kerana sambutan tidak memberangsangkan.

Katanya, untuk meningkatkan penyertaan, langkah promosi yang giat akan diatur sebaik sahaja Malam Wartawan Malaysia 2021 selesai diadakan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Oktober 2021 @ 1:41 PM