HARIAN Metro memenangi empat anugerah sempena Malam Wartawan Malaysia 2019. FOTO MUHD ZAABA ZAKERIA
HARIAN Metro memenangi empat anugerah sempena Malam Wartawan Malaysia 2019. FOTO MUHD ZAABA ZAKERIA
Amir Abd Hamid dan Suraya Roslan


HARIAN Metro mengungguli Hadiah Kewartawanan Malaysia-MPI Petronas 2018 malam ini, selepas menang empat hadiah kategori yang dipertandingkan.

Harian Metro merangkul hadiah kategori Kewartawanan Antarabangsa Cemerlang, Laporan Berita Cemerlang, Infografik Terbaik dan Kewartawanan Penyiasatan Cemerlang.

Wartawan Skuad Khas Harian Metro, Mohd Firdaus Ibrahim memenangi Kewartawanan Penyiasatan Cemerlang menerusi laporan bersiri Plot Jual Negara.

Selain itu, Harian Metro memenangi kategori Infografik Terbaik menerusi gandingan Muhammad Saufi Hassan dan Norsalim Mohamed Dawam dengan grafik maklumat Rehabilitasi Bionik Adi-Wira.

Wartawan meja jenayah Harian Metro, Mohd Azam Shah Yaacob memenangi kategori Kewartawanan Antarabangsa Cemerlang, manakala gandingan Mohd Firdaus Ibrahim, Syazwan Msar dan Amir Abd Hamid berjaya merangkul kategori Laporan Berita Cemerlang menerusi laporan bersiri Hospital Bom Jangka.

Bagi kategori Penulisan Kolum/Rencana Pengarang dimenangi Pengarang Eksekutif Komersial dan Ehwal Semasa Berita Harian, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman manakala kategori Kartun Editorial Terbaik dimenangi Khairul Anuar Md Nor dari Berita Harian.

Mereka menerima RM10,000, piala dan sijil.

MASZLEE (tengah) bergambar bersama penerima anugerah sempena Malam Wartawan Malaysia 2019 di Hotel Berjaya Times Square. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
MASZLEE (tengah) bergambar bersama penerima anugerah sempena Malam Wartawan Malaysia 2019 di Hotel Berjaya Times Square. FOTO Muhd Zaaba Zakeria

Penyampaian hadiah kemenangan disampaikan Pengarang Kanan setiap agensi media dan turut hadir Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik pada Malam Wartawan Malaysia 2019 yang diadakan di ibu negara.

Sebanyak 267 penyertaan diterima Malaysian Press Institute untuk dipertandingkan dalam 20 kategori hadiah kali ini.

Turut hadir Pengarah Eksekutif, Operasi Berita dan Editorial Media Prima merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Interim NSTP Mustapha Kamil Mohd Janor, Ketua Pegawai Operasi NSTP, Datuk Yushaimi Yahya dan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Tuan Asri Tuan Hussein.

Terdahulu Pengerusi Jawatankuasa Induk Pelaksana Malam Wartawan Malaysia 2019, Datuk Dr Chamil Wariya berkata, pihak MPI berbesar hati sekiranya Kementerian Pendidikan memberi kebenaran kepada pihaknya untuk menjalankan kursus kewartawanan di sekolah seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2019 @ 10:46 PM