PENAMPILAN Fasha tetap tarik perhatian ramai.
PENAMPILAN Fasha tetap tarik perhatian ramai.
Zaara Talita


PELAKON popular, Fasha Sandha menolak dakwaan semakin seksi dan 'galak' selepas berjaya menurunkan berat badan sebanyak 18 kilogram.

Kata pemilik nama penuh Nur Fasha Sandha Hassan, 39, dia sekadar menggayakan semula pakaian lamanya sebelum berat badan bertambah.

"Mungkin karakter saya sebagai Datin Safia iaitu seorang yang 'daring'. Masa saya bulat dulu pun, saya masih macam itu juga, cuma mungkin orang tidak nampak. Mungkin tidak memberi impak kepada mereka sebelum ini.

"Jadi, saya anggap ia sebagai tanggungjawab dan komitmen yang diberikan. Mungkin mereka nampak kelainan itu kerana baju lama saya sudah muat balik.

FASHA bersama suami.
FASHA bersama suami.

"Bagi saya seksi itu adalah subjektif terpulang kepada mata yang melihat itu. Contohnya seperti Rozita Che Wan, walaupun bertudung, namun tetap nampak seksi kerana cara dan gayanya," katanya mengulas mengenai penampilannya ketika ditemui di acara Zumba with Fasha Sandha baru-baru ini.

Malah, kehadiran pelakon jelita itu sebagai duta produk Berryfull ternyata memberi tuah buat jenama Inayah Beauty apabila meraih jualan paling tinggi iaitu lebih 400,000 jar.

Berkongsi mengenai proses menurunkan berat badan, Fasha menjelaskan tempoh itu bukan sesuatu yang mudah buat dirinya.

"Hanya saya dan yang terdekat tahu bagaimana kesusahan menurunkan berat badan. Malah, saya pernah menangis kerana teringin hendak minum biskut cicah Milo.

"Namun, saya ditenangkan suami yang meminta saya menjamah sedikit untuk menghilangkan rasa teringin. Jadi, saya tahu bukan mudah untuk diet dan menurunkan berat badan," kata pelakon drama Rampas Cintaku itu.

Selain aktif berlakon Fasha yang sibuk dengan pelbagai projek selaku duta produk turut mendedahkan dirinya tidak mempunyai sebarang masalah mengenakan pakaian berharga murah asalkan ia kelihatan cantik pada pandangannya.

Ia adalah respons balas Fasha terhadap komen seorang individu yang mengatakan baju yang digayakannya menerusi entri terkini di laman Instagram cuma berharga RM15.

Tambah Fasha lagi, dia berpendapat baju yang berharga mahal tidak terlihat eksklusif sekiranya si pemakai tidak mempunyai aura mengenakannya.

"Ada kalanya pakai baju atas puluhan ribu, tetap tak nampak cantik. Saya tak kisah dan tak malu pun. Saya memang pakai baju murah sahaja," kata Fasha yang sentiasa kelihatan cantik dalam mengenakan apa sahaja jenis pakaian sekali pun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Julai 2023 @ 6:14 AM