TEKANAN akademik boleh beri kesan terhadap kesihatan mental.
TEKANAN akademik boleh beri kesan terhadap kesihatan mental.
Muhamaad Razis Ismail

TAHUKAH anda, usia enam tahun pertama adalah fasa penting kepada kanak-kanak untuk membentuk kesihatan mental yang baik.

Kajian sains yang dijalankan mendapati pembentukan otak adalah berlandaskan emosi pada enam tahun pertama.

Selain itu pada usia ini, ia memfokuskan hampir 90 peratus perkembangan kritikal neuron.

Di samping perkembangan asas keperluan manusia, emosi dan hubungan positif antara anak dan ibu bapa antara komponen besar yang diperlukan dalam memastikan 90 peratus bahagian otak terbentuk dengan baik.

Pengamal Pendidikan Awal Kanak-kanak, Dr Putri Afzan Maria Zulkifli berkata, dalam proses pembesaran terutamanya enam tahun pertama, anak memerlukan komunikasi dan perhubungan yang positif serta rapat dengan ibu bapa.

"Dalam hal ini, ibu bapa perlu mendengar cerita atau luahan hati anak dan perlu memberi ruang untuk mereka melakukan kesilapan.

"Kepercayaan ini penting kerana dalam proses anak meneroka, mereka sebenarnya sedang belajar dan bertanya banyak soalan," katanya.

LUANGKAN masa membaca untuk anak.
LUANGKAN masa membaca untuk anak.

Menurutnya, antara tip mudah adalah mewujudkan suasana bacaan buku kepada anak-anak sebelum mereka tidur.

"Pastinya ada banyak cara lain, tetapi aktiviti bacakan buku ini membantu banyak perkara antaranya memperkenalkan awal literasi di samping membina hubungan yang baik melalui keletah terbabit ketika menyampaikan cerita, menatap wajah anak, melakukan aksi-aksi yang berkaitan cerita, menggunakan intonasi suara pelbagai yang akan membawa kepada rapatnya hubungan ini," katanya.

Jelasnya, adalah sangat penting bagi ibu bapa mendidik anak mengenali kepelbagaian emosi yang sedang dihadapi.

"Namakan emosi supaya anak kenal perasaan yang sedang mereka lalui. Apabila mereka mengenali perasaan itu, akan berlaku regulasi kendiri.

"Apabila anak mengetahui bagaimana untuk regulasikan emosi, ini memudahkan mereka untuk mula berfikir secara lebih rasional, dalam erti kata lain, mula menggunakan 'otak berfikir' bukan hanya 'otak emosi'," katanya.

Mengulas lanjut, bagi menjaga kesihatan mental anak, hubungan antara suami dan isteri juga perlu dititikberatkan.

"Hubungan yang sihat ini akan menjadi contoh teladan yang baik bagi seorang anak yang dilahirkan, sepanjang proses mereka membesar.

ENAM tahun pertama sangat penting untuk kesihatan mental anak.
ENAM tahun pertama sangat penting untuk kesihatan mental anak.

"Jika ibu bapa membuat keputusan untuk berpisah, pastikan mereka jelas bahawa anak ini memerlukan 'pengasuhan bersama' untuk memastikan emosi anak tidak terganggu," katanya.

Beliau berkata, kesedaran dalam kalangan masyarakat terhadap kepentingan menjaga kesihatan mental anak masih lagi rendah.

"Ramai ibu bapa yang cenderung mendahulukan kemahiran akademik dalam enam tahun pertama anak sehingga mengabaikan perkembangan EQ mereka.

"Perlu diingat, sekiranya perkembangan yang sepatutnya didahului terabai dan komponen yang perlu berlaku dalam IQ diawalkan dalam enam tahun pertama, ini antara punca permulaan kepada permasalahan kesihatan mental anak-anak," katanya.

Justeru itu, beliau menyarankan supaya ramai pihak membuka mata mengenai kepentingan menjaga kesihatan mental.

"Usaha ini bukan usaha satu pihak sahaja dan ia memerlukan kerjasama semua pihak yang pastinya berurusan dengan manusia setiap hari," katanya.

HUBUNGAN suami isteri penting untuk kesihatan mental anak.
HUBUNGAN suami isteri penting untuk kesihatan mental anak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 September 2021 @ 6:30 AM