MASHY membuat permohonan maaf dan memberi  susulan salah faham dan kekeliruan orang ramai mengenai satu videonya yang tular di laman sosial. FOTO Ihsan Masitah Mohd Affandy
MASHY membuat permohonan maaf dan memberi susulan salah faham dan kekeliruan orang ramai mengenai satu videonya yang tular di laman sosial. FOTO Ihsan Masitah Mohd Affandy
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Usahawan yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan, Masitah Mohd Affandy memohon maaf atas salah faham dan kekeliruan yang timbul selepas tular satu videonya di laman sosial baru-baru ini.

Permohonan maaf terbuka itu dibuat menerusi video dimuat naik di akaun TikTok dan Facebook (FB) miliknya, tengah malam tadi.

Menjelaskan perkara sebenar, Mashy, 32, berkata, video itu dirakam tanpa pengetahuannya sebelum dia buta.

"Ia juga dimuat naik tanpa pengetahuan dan keizinan tetapi saya juga tidak bermaksud marah, sedih dan sebagainya.

"Cuma, kita tidak menjangkakan video itu tular. Video itu digunakan sebagai 'content' (bahan)," katanya dalam video penjelasan dan permohonan maaf itu.

Menerusi video yang tular, wanita mesra disapa Mashy itu dilihat bersembang dengan beberapa individu sambil menyatakan secara kiasan yang malaikat sebagai perantara doa manusia kepada Allah.

Perkongsian video oleh seorang pengguna TikTok itu mengundang pelbagai reaksi dan mendapat teguran daripada banyak pihak yang menganggap fahaman itu salah serta mengelirukan.

Menurut Mashy, video itu bukan untuk tatapan umum atau disebarkan sebagai bahan pendidikan.

"Apa 'content' yang saya cakap tentang malaikat dan sebagainya itu adalah bukan bertujuan pendidikan, bukan untuk disebarkan apatah lagi diamalkan. Tak nak lah nanti orang cakap Mashy ajar kita doa cakap kat malaikat. Bukan ...

"Kefahaman itu tidak disahihkan oleh mana-mana guru ketika rakaman dibuat, tidak ada asatizah, ustaz, ustazah yang membetulkan kefahaman saya ketika itu jadi kita minta video yang tular itu tidak digunakan sebagai bahan pendidikan apatah lagi diamalkan.

"Tak bagus sebenarnya kita beramal dengan perkara yang kita tak faham," katanya.

Justeru, Mashy memohon jasa baik semua termasuk rakan dan warga TikTok yang sudah memuat naik dan menyebarkan video berkenaan supaya memadam atau menurunkannya daripada platform laman sosial masing-masing.

"Saya dengan rendah hati, rendah diri memohon maaf atas kekeliruan yang berlaku, saya juga dengan rasa bersyukur ucapkan terima kasih kepada mereka yang alert (beritahu) saya tentang kewujudan video itu.

"Mohon maaf atas apa yang berlaku, insya-Allah kita usahakan supaya tak berulang perkara, peristiwa atau perkara sebegini.

"Sekarang saya banyak bergantung harap maklumat daripada orang.

"Kalau waktu celik tahu benda ini berlaku, saya orang pertama akan ambil tindakan tapi sekarang bergantung harap kepada orang sekeliling untuk bantu alert (beritahu ), untuk bantu ambil tindakan untuk bantu maklumkan kepada orang yang memuat naik dan sebagainya.

"Semoga penjelasan ini membantu mengurangkan kekeliruan dan semoga video ini menjadi orang kata video permohonan maaf secara rasmi atas apa yang berlaku," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan kisah Mashy yang dahulunya normal namun buta kedua matanya selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 21 Mac lalu iaitu dua hari sebelum Ramadan.

Berikutan kemalangan itu, Mashy dirawat selama 24 hari di wad hospital namun apa yang berlaku tidak menyebabkannya murung sebaliknya terus positif dalam meneruskan kehidupan.

Aura positifnya dapat dilihat menerusi perkongsian video di TikTok dengan rata-rata netizen kagum dan memuji Masitah yang nampak tenang walaupun selepas berdepan ujian hebat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mei 2023 @ 8:49 AM