Redzuan Muharam

Kota Bharu: Walaupun insan tercinta sudah pergi menghadap Ilahi, Noorlyssa Omar tetap mahu mengabadikan kenangan di Aidilfitri dengan mengajak tiga anaknya bergambar bersama potret dan uniform peninggalan suaminya, Allahyarham Zulhisham Mohd Yaacob.

Kisah Noorlyssa, 37, dan tiga anaknya, Muhammad Zulhilmi, 10; Muhammad Zulhaziq Aiman, 8, dan Nur Jannah Qaleesya, 3, itu mendapat perhatian warganet selepas video mengandungi himpunan gambar sewaktu sesi fotografi dikongsi di aplikasi TikTok baru-baru ini.

Bercerita lanjut, Noorlyssa yang menetap di Taman Baung Perdana di sini berkata, gambar bersama anaknya itu diambil di sebuah studio fotografi pada Ahad lalu.

Untuk sesi fotografi itu, dia bawa bersama potret serta uniform arwah suaminya kerana mahu mencari kelainan berbanding tahun sebelumnya.

"Perancangan awal saya adalah mengambil gambar bersama keluarga di studio namun kami tidak dapat berkumpul pada hari itu disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Disebabkan sudah membuat tempahan awal, saya teruskan juga sesi fotografi dengan anak-anak saja dan sebelum hadir ke studio, saya ada memberitahu jurugambar hasrat untuk membawa potret serta uniform arwah suami bersama.

"Dia (jurugambar) kata itu idea yang menarik dan lain daripada lain, jadi saya pun bawa bersama ke studio pada hari berkenaan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Uniform dan potret Allahyarham Zulhisham menjadi pengubat rindu kepada Noorlyssa dan tiga anaknya. Foto Noorlyssa Omar
Uniform dan potret Allahyarham Zulhisham menjadi pengubat rindu kepada Noorlyssa dan tiga anaknya. Foto Noorlyssa Omar

Menurut Noorlyssa, dia hanya mahu menggembirakan anaknya kerana sebelum ini mereka semua hanya mengambil gambar raya di rumah.

Katanya, koleksi gambar yang ada pula disunting menjadi video dan dimuat naik di TikTok untuk simpanan sendiri.

"Tak sangka pula video itu tular dan meraih tontonan tinggi kerana saya sebenarnya tidak pandai bermain TikTok.

"Saya ada muat naik video sebelum ini tetapi perkongsian biasa saja. Kali ini, lain pula impaknya dan jujurnya saya tersentuh apabila ramai mendoakan arwah suami," katanya yang kini mencari rezeki dengan menjual jamu.

Berkongsi perihal suaminya, Noorlyssa berkata, Zulhisham meninggal dunia pada 21 Julai 2018 iaitu kira-kira dua minggu sebelum kelahiran anak bongsunya.

Noorlyssa bersama tiga anaknya dengan uniform dan potret milik Allahyarham Zulhisham ketika sesi fotografi di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini. Foto Ihsan Noorlyssa Omar
Noorlyssa bersama tiga anaknya dengan uniform dan potret milik Allahyarham Zulhisham ketika sesi fotografi di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini. Foto Ihsan Noorlyssa Omar

Menurutnya, Allahyarham Zulhisham yang dulunya berkhidmat sebagai jurulatih Askar Wataniah di Kem Padang Midin, Terengganu meninggal dunia dengan tiba-tiba selepas rebah sebaik menunaikan solat Isyak.

"Memang sedih terutama apabila mengenangkan arwah yang tidak sempat melihat anak bongsu kami kerana dia sudah lama inginkan zuriat perempuan.

"Bagaimanapun, saya reda dengan pemergiannya cuma masih tidak dapat lupakan kenangan bersama arwah lebih-lebih lagi ketikn Ramadan dan Aidilfitri.

"Setiap kali Ramadan, arwah akan bawa saya dan anak-anak ke bazar dan dia paling suka air tebu, disebabkan itu saya tidak boleh minum lagi minuman itu sehingga ini kerana sedih teringatkannya.

"Pagi Syawal pula, arwah tidak lupa memberi duit raya kepada anak-anak tetapi kini semua itu tinggal kenangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Mei 2021 @ 8:30 PM