RAIS Yasin. FOTO Amir Mamat
RAIS Yasin. FOTO Amir Mamat
Amir Mamat


Melaka: Exco Kanan negeri, Datuk Rais Yasin tidak menolak kemungkinan tuduhan skandal dan rasuah seks yang dilemparkan ke atas dirinya hanya bermotifkan politik bagi menjatuhkan imej dan reputasi dirinya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput berkata, terdapat pihak yang dilihat masih tidak senang dengan imej serta prestasi kerja dibawanya, khususnya selepas menang sebagai Ketua Umno Bahagian Tangga Batu pada pemilihan parti, Mac lalu.

Bagaimanapun, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri itu mengambil sikap bertenang dan menganggap dakwaan itu sebagai fitnah jahat yang hanya dilakukan oleh segelintir musuh politiknya.

"Saya tak nak ambil `pusing' mengenai perkara ini kerana tumpuan saya kini untuk membantu Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh untuk membangunkan Melaka. Saya tidak mahu isu politik jijik ini menjejaskan prestasi kerja saya untuk rakyat, khususnya di kawasan Paya Rumput," katanya yang menafikan dakwaan skandal seks berkenaan.

Beliau ditemui selepas mengadakan lawatan ke Pasar Besar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Bachang, di sini hari ini.

Turut hadir, Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman.

Ini adalah kenyataan pertama Rais selepas isu berkaitan skandal seks mengaitkan dirinya tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penyebaran beberapa tangkap layar perbualan WhatsApp dan video berunsur seksual yang dikatakan membabitkan dirinya adalah satu tuduhan yang sengaja direka cipta pihak tertentu.

Justeru, beliau menafikan sekeras-kerasnya melakukan perbuatan yang digambarkan dalam tangkap layar itu, termasuk rasuah seks sebagai habuan membantu saudara kepada seorang wanita bagi mendapatkan projek kerajaan.

"Ini semua adalah satu fitnah yang direka cipta untuk menjatuhkan reputasi saya dan selaku pemimpin kerdil, saya anggap ini adalah asam garam politik. Dalam masa yang sama saya anggap ini satu ciptaan dan rekaan yang menggunakan perbualan WhatsApp.

"Saya sendiri seram apabila membaca perbualan itu (menerusi tangkap layar). Saya tidak pernah memberi rasuah secara seks atau apa-apa bentuk rasuah kepada mana-mana individu. Mana-mana yang mengenali diri saya atau pun kawan rapat, saya yakin mereka tahu siapa diri saya," katanya.

Beliau yang baru pulang daripada bercuti turut berterima kasih kepada Ab Rauf yang baru-baru ini mengeluarkan kenyataan berhubung isu berkenaan.

Selasa lalu, Ab Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri menegaskan isu skandal seks yang didakwa membabitkan seorang Exco Melaka sebagai satu fitnah.

Beliau dilaporkan berkata, dalam dunia siber serba moden pelbagai bentuk fitnah mudah disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab terutama dalam media sosial.

Dalam pada itu, Rais turut mengesahkan isu dan video yang sama pernah disebarkan pihak tertentu ketika sehari sebelum Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Tangga Batu, 18 Mac lalu.

Pada pemilihan itu, beliau menang jawatan Ketua Umno Bahagian menewaskan penyandang, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad dengan kelebihan empat undi.

Rais yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri berkata, beliau tidak akan membuat laporan polis berhubung tuduhan berkenaan, sebaliknya meminta pihak yang menuduh itu untuk berbuat demikian.

"Saya orang yang dituduh, contohnya, saya mencuri dan sepatutnya tuan rumah yang membuat laporan polis, bukannya saya," katanya.

Beliau turut meneliti beberapa aspek bagi mempertahankan dirinya, termasuk memikirkan tindakan undang-undang kepada pihak yang menjadi dalang, mencipta dan menyebarkan video berkenaan.

"Saya sedang meneliti (untuk saman) kerana dengan fitnah ini mengganggu juga tugas saya sebagai pemimpin, namun saya tidak mahu ambil berat isu ini kerana fokus saya dengan kerja yang dipertanggungjawabkan ke atas saya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 April 2023 @ 3:23 PM