AB Rauf ditemui media selepas mesyuarat Badan Perhubungan Umno Melaka. FOTO Amir Mamat.
AB Rauf ditemui media selepas mesyuarat Badan Perhubungan Umno Melaka. FOTO Amir Mamat.
Amir Mamat


Ayer Keroh: "Tunggu pengumuman rasmi. Saya tak boleh beri apa-apa maklum balas setakat ini," kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau yang juga Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri berkata, semua pihak diminta bertenang dan bersabar susulan spekulasi yang mengaitkan namanya untuk dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka baharu.

"Saya tidak boleh memberikan apa juga komen tentang spekulasi ini. Kita tunggu pengumuman rasmi daripada mana-mana pihak yang akan memberikan pengumuman... sedikit masa lagi ya," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Badan Perhubungan Umno negeri di Seri Negeri, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusinya, Datuk Rais Yasin dan semua Ketua Umno Bahagian.

Beliau berkata, isu pertukaran Ketua Menteri Melaka itu tidak dibincangkan pada mesyuarat berkenaan, sebaliknya tertumpu kepada kelancaran jawatankuasa baharu sejurus tamat musim pemilihan Umno baru-baru ini.

"Tak perlu bincang (isu pertukaran Ketua Menteri), sebab tak ada kena mengena (dengan agenda mesyuarat)," katanya.

Spekulasi pertukaran Ketua Menteri kini kembali hangat apabila penyandang jawatan itu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dikatakan akan meletakkan jawatan esok.

Difahamkan, tindakan terbabit diambil selepas beliau mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam.

Ia sekali gus bakal memberi laluan kepada Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara untuk dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2023 @ 6:33 PM