Meor Riduwan Meor Ahmad

Melaka: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Melaka hari ini mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan berhubung dakwaan rasuah seks membabitkan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

Pengerusinya, Mohd Zamri Abu Bakar mendakwa, terdapat banyak bukti didedahkan di Facebook mengaitkan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin membayar sehingga RM15,000 sebulan bagi mendapatkan khidmat seks daripada seorang wanita.

Dakwanya, bukti gambar, cetakan skrin telefon dan video yang mengaitkan Exco itu dengan skandal rasuah seks itu disiarkan bermula 25 April lalu di Facebook.

"Bukti-bukti yang dimuat naik menunjukkan Exco terbabit punya hubungan dengan seorang perempuan yang menawarkan khidmat seks bagi mendapat bayaran.

"Exco itu dikehendaki membayar sehingga RM15,000 sebulan kerana khidmat seks yang diberikan," katanya kepada media selepas menyerahkan laporan di Pejabat SPRM Melaka, hari ini.

Mohd Zamri berkata, bukti itu juga jelas menunjukkan tindakan kedua-dua watak wanita dan Exco terbabit masing-masing boleh disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 372(1)(f) dan 372(B) Kanun Keseksaan.

"Dalam pendedahan itu jelas wujud elemen rasuah yang sangat besar apabila wanita itu dikatakan sudahpun memberikan khidmat seks bagi tujuan mendapatkan projek untuk 'uncle'nya dan watak yang dikatakan Exco itu turut didakwa berjanji memberikan projek demi mendapatkan layanan seks.

MOHD Zamri bersama AJK SAMM Melaka menunjukkan salinan laporan berserta dokumen sokongan berhubung skandal rasuah seks yang diserahkan kepada SPRM Melaka. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
MOHD Zamri bersama AJK SAMM Melaka menunjukkan salinan laporan berserta dokumen sokongan berhubung skandal rasuah seks yang diserahkan kepada SPRM Melaka. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad

"Ini jelas menyalahi Seksyen 16 dan 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 iaitu meminta/menerima rasuah dan memberi suapan (rasuah seks).

"Selain itu, salah guna kuasa mengikut Seksyen 23 A SPRM 2009 iaitu menggunakan kedudukan untuk mendapatkan rasuah (layanan seks) dengan menawarkan projek kepada pihak wanita itu," katanya.

Beliau berkata, pendedahan skandal rasuah seks itu umpama mencurah garam ke luka rakyat yang hidup dalam keadaan sangat tertekan dengan kos kehidupan.

Justeru pihaknya, mendesak SPRM membuka kertas siasatan dan memanggil kesemua watak iaitu individu yang membuat pendedahan serta wanita dan Exco yang dimaksudkan.

Sementara itu, Mohd Zamri berkata, jawapan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang disiarkan media sangat mengecewakan apabila tidak mahu menafikan perkara itu terjadi atau tidak malah menyifatkan ia fitnah yang boleh dikenakan kepada sesiapa saja.

"Maka timbul persoalan adakah Kerajaan Melaka hari ini tidak kisah mengenai integriti termasuk wujud rasuah seks tetapi akan terus membela dan melindungi pelaku?

"Semua sangat jelas dan jika SPRM pun gagal bertindak maka sesuatu sangat tidak kena sedang berlaku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 April 2023 @ 3:15 PM