Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan (KPM) bersetuju mengembalikan semula pembukaan sesi persekolahan kepada Januari, namun pelaksanaanya bukan dalam masa terdekat berikutan perlu mengambil kira beberapa faktor.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pertimbangan itu diambil selepas pihaknya menerima banyak pandangan mengenai kepentingan mengembalikan sesi persekolahan kepada Januari terutama golongan ibu bapa.

"KPM bersetuju mengembalikan sesi persekolahan kepada Januari secara prinsipnya tetapi bukan dalam masa terdekat kerana mengambil kira pelbagai faktor yang perlu diselesaikan selain pelbagai justifikasi berdasarkan kepada pematuhan Akta Pendidikan.

"Perancangan KPM mengembalikan semula kalendar akademik persekolahan pada Januari dan berakhir Disember perlu memastikan silibus setiap subjek dapat diselesaikan selain tidak mengganggu jadual peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

"Selain itu, perlu mengambil kira faktor cuaca tidak menentu serta ekonomi setempat, KPM pada masa sama perlu mematuhi termasuk bilangan persekolahan murid yang tidak boleh kurang daripada 190 hari dalam tempoh setahun," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 bagi KPM di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, KPM tiada rancangan untuk mewajibkan Tingkatan Enam kerana ia akan memberi kesan kepada kemasukan ke institusi pengajian tinggi lain.

"Pendidkan Tingkatan Enam ditawarkan selaras dengan Akta Pendidikan 1996 dan bukanlah pendidikan wajib.

"Langkah mewajibkan Tingkatan Enam akan memberikan kesan kemasukan Matrikulasi, Institut Pendidikan Guru (IPG) dan universiti awam dan swasta," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, KPM dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa memantau kualiti menu makanan di asrama berdasarkan saranan Pengambilan Nutrien Malaysia 2017 bagi memenuhi keperluan nutrisi murid.

"Keperluan murid sekolah rendah adalah antara 1,800 hingga 2,000 kilokalori sehari manakala pelajar menengah antara 2,000 hingga 2,600 kilokalori sehari.

"Anggaran keperluan kalori berdasarkan tahap fizikal murid dimana murid yang tinggal di asrama dikategorikan kumpulan yang aktif.

"Menu makanan asrama memenuhi piramid makanan Malaysia mengambil kira kumpulan makanan iaitu bijirin, buah-buahan, sayuran, protein dan susu," katanya.

Katanya, cara penyediaan makanan berkhasiat juga ditekankan dengan mengurangkan penggunaan minyak, garam dan gula dalam hidangan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2023 @ 6:17 PM