Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Pendekatan penggiliran ke sekolah serta Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) adalah semangat untuk mengembalikan murid kepada sesi persekolahan secara bersemuka.

Ia mengambil kira pelbagai faktor termasuk sesi libat urus bersama pelbagai pihak termasuklah guru, ibu bapa, pentadbir sekolah dan wakil dari kesatuan perguruan.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, kementeriannya sedar dalam konteks pembukaan sekolah yang lepas, ibu bapa dan masyarakat berpendapat keadaan di luar sekolah adalah selamat, sebaliknya kesesakan berlaku ketika keluar.

"Maka kita duduk berbincang apakah pendekatan terbaik, terutama mengambil kira varian Delta. Sebab itu kita bincang, kita kurangkan murid kepada separuh.

"Apa yang kita tekankan ialah semangatnya kembalikan murid ini ke sekolah, dan kita perlu ingat dalam konteks KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) ada lima juta murid datang daripada pelbagai latar belakang.

"Ada dapat akses Internet, ada peranti boleh belajar di rumah, ada yang jauh ketinggalan dalam konteks pembelajaran bersama guru di sekolah. Mencari titik tengah ini memerlukan satu titik tengah mendalam," katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

MENTERI Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin. FOTO ihsan KPM
MENTERI Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin. FOTO ihsan KPM

Sim Tze Sin (PH- Bayan Baru) meminta penjelasan mengenai perincian pelaksanaan dan bagaimanakah seorang guru mengajar PdP bersemuka dan PdPR pada masa sama.

Katanya, apabila berlaku penggiliran, murid akan mempunyai hubungan langsung dengan guru mereka secara bersemuka dalam keadaan pembelajaran secara semula jadi yang mereka laksanakan sebelum ini.

"Apa yang perlu difahamkan, apabila negeri dibuka secara berfasa, hanya negeri fasa empat yang muridnya hampir semua akan kembali ke sekolah.

"Secara umumnya mereka yang melaksanakan PdPR akan terus dengan PdPR selagi sesi persekolahan bersemuka untuk mereka tidak dimulakan," katanya.

Menjawab soalan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) mengenai kesan PdPR kepada murid ke asrama penuh, beliau berkata, untuk kemasukan ke asrama penuh, kementeriannya melaksanakan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK).

Menerusinya, murid di seluruh negara dibenarkan menduduki PKSK tidak kira di mana mereka berada.

"Dengan adanya PKSK, ia tidak memfokuskan kepada akademik semata-mata.

"Jadi ia membuka ruang seluas-luasnya untuk anak ini yang mempunyai kebolehan, potensi untuk mendapat ruang kemasukan ke asrama penuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 September 2021 @ 11:34 AM