FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Hanya pelajar yang menduduki peperiksaan utama saja dibenarkan untuk hadir ke sekolah bermula 20 Januari ini.

Ia membabitkan pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) tahun 2020 serta peperiksaan antarabangsa yang setara.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada kenyataan hari ini memaklumkan, ketetapan itu dibuat selepas mengambil kira trend peningkatan kes Covid-19 sejak kebelakangan ini.

Menurut kenyataan, KPM sudah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung situasi terkini itu.

Katanya, semua murid dan pelajar tingkatan satu hingga lima akan mengikuti pembelajaran melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) mengikut kesesuaian guru serta golongan berkenaan mulai 20 Januari ini.

"Memandangkan ada pelajar sudah mula mendaftar masuk di asrama mulai hari ini, KPM membuat ketetapan, bagi sekolah berasrama penuh tingkatan empat dan lima, boleh kekal di asrama dan mengikuti pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian di sekolah atau pulang ke rumah dan mengikuti PdPR.

"Ibu bapa atau penjaga dibenarkan mengambil anak atau anak jagaan pulang pada bila-bila masa yang sesuai dengan mematuhi garis panduan ditetapkan," katanya.

Tambahnya, bagi pelajar tingkatan lima dan enam, boleh mengikuti PdP secara bersemuka di sekolah sehingga selesai peperiksaan.

Katanya, bagi asrama sekolah harian, pelajar tingkatan satu, empat dan lima boleh kekal di asrama dan mengikuti PdP secara dalam talian di sekolah atau pulang ke rumah dan mengikuti PdPR.

Menurutnya lagi, pelajar tingkatan lima sesi 2020 dan tingkatan enam boleh mengikuti PdP secara bersemuka di sekolah sehingga selesai peperiksaan.

"Keperluan makan dan minum pelajar di asrama akan disediakan oleh pihak sekolah manakala guru perlu kembali ke stesen tempat bertugas masing-masing sebelum 20 Januari.

"Guru yang terbabit dengan kelas peperiksaan SPM, SVM, SKM, STPM, STAM, DVM 2020 perlu hadir ke sekolah untuk tujuan PdP secara bersemuka manakala guru lain akan melaksanakan PdPR dan kehadiran ke sekolah adalah berdasarkan keperluan yang ditetapkan ketua jabatan," katanya.

Tambahnya, penuntut kolej matrikulasi perlu kekal di kolej masing-masing untuk terus mengikuti pembelajaran secara hibrid sementara penuntut Institut Pendidikan Guru (IPG) yang sudah berada di asrama perlu kekal berada di asrama kampus.

Namun, bagi penuntut yang masih belum mendaftar di asrama, boleh memilih untuk masuk ke asrama atau kekal berada di rumah masing-masing dan PdP untuk penuntut IPG akan dilaksanakan secara dalam talian mulai esok.

"Perincian berkaitan pelaksanaan praktikum dan pelatih IPG akan dimaklumkan kelak dan pada masa sama, semua Tadika swasta yang berdaftar dengan KPM boleh terus beroperasi secara bersemuka.

"KPM menyarankan agar semua ketetapan ini turut diikuti sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM termasuk sekolah di bawah kerajaan negeri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2021 @ 9:04 PM