FADHLINA Sidek. FOTO Bernama.
FADHLINA Sidek. FOTO Bernama.
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan meneliti cadangan untuk mengembalikan semula kalendar akademik persekolahan bermula pada Januari seperti sebelum ini.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek bagaimanapun berkata, perkara itu masih belum boleh dilaksanakan tahun hadapan kerana perlu menyelesaikan pelbagai justifikasi berdasarkan pematuhan kepada Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).

"Perubahan semula kalendar akademik persekolahan juga perlu mengambil kira faktor ekonomi setempat dan banjir pada hujung tahun, selain tidak mengganggu jadual jadual peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM)," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Fadhlina berkata, sesi persekolahan bagi Kalendar Akademik Sesi 2023/2024 masih dikekalkan pada bulan Mac 2023 untuk memastikan KPM mematuhi Peraturan-Peraturan Pendidikan (Penggal, Hari dan Cuti Sekolah) 1998 (Pindaan) 2021.

Katanya, peraturan ini menetapkan jumlah hari persekolahan dalam kalendar akademik hendaklah tidak kurang daripada 190 hari.

"KPM sentiasa melihat kepada keperluan dan kesesuaian penyediaan kalendar akademik untuk tahun seterusnya bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan berkesan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2023 @ 7:59 PM