GAMBAR fail. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR fail. FOTO Arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bagi sekolah di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sesi persekolahan secara bersemuka hanya akan membabitkan murid yang akan menduduki peperiksaan utama.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataannya berkata, mereka yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) tahun 2020 dan 2021 serta peperiksaan antarabangsa yang setara akan hadir sesi persekolahan secara bersemuka.

Katanya, murid sekolah berasrama penuh dan asrama sekolah harian yang akan menduduki peperiksaan itu dibenarkan pulang ke asrama mulai 16 Januari ini.

"Surat kebenaran khas akan dikeluarkan oleh pihak sekolah bagi membolehkan murid merentas negeri atau daerah untuk pulang ke asrama.

"Selain itu, semua murid sekolah rendah dan murid tingkatan satu hingga tingkatan empat di sekolah menengah di kawasan PKP akan mengikuti pembelajaran melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) mengikut kesesuaian guru dan murid mulai 20 Januari," katanya, hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, ketetapan berkenaan juga terpakai kepada murid Semester 2 SVM dan Semester 2 DVM tahun 2020 di Kolej Vokasional.

"Bagi Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) ke tingkatan satu, calon berdaftar yang masih belum menduduki pentaksiran ini akan mengikuti pentaksiran di antara 20 hingga 29 Januari ini.

"Sementara itu, bagi kemasukan ke tingkatan empat pula, pentaksiran akan diadakan di antara 15 hingga 25 Februari 2021.

"Surat kebenaran khas akan dikeluarkan oleh KPM bagi membolehkan calon merentas negeri atau daerah untuk hadir ke pusat pentaksiran yang ditetapkan," katanya.

Bagi tujuan pengoperasian sekolah, KPM meminta semua guru kembali ke stesen tempat bertugas masing-masing sebelum 20 Januari ini.

"Guru yang terbabit dengan peperiksaan SPM/SVM/SKM/STPM/STAM/DVM tahun 2020 dan 2021 di kawasan PKP perlu hadir ke sekolah untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka.

"Surat kebenaran khas akan dikeluarkan oleh pihak sekolah bagi membolehkan guru merentas negeri atau daerah untuk hadir ke sekolah," katanya.

Katanya, pelajar Kolej Matrikulasi di kawasan PKP yang berada di kolej perlu kekal di kolej masing-masing untuk terus mengikuti pembelajaran secara hibrid.

"Bagi pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) di kawasan PKP, pengajaran dan pembelajaran bagi semua program pengajian akan dilaksana secara dalam talian mulai 17 Januari ini.

"Di samping itu, semua tadika swasta yang berdaftar dengan KPM boleh terus beroperasi secara bersemuka," katanya.

Tambah KPM, Institusi Pendidikan di kawasan PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) bagi kawasan PKPB dan PKPP, pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM dan semua kategori Institusi Pendidikan Swasta (IPS) yang berdaftar dengan KPM termasuk sekolah antarabangsa adalah berdasarkan takwim institusi masing-masing.

"KPM menyarankan agar semua ketetapan ini turut diikuti oleh sekolah-sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM, termasuk sekolah di bawah Kerajaan Negeri," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 January 2021 @ 9:40 PM