PINTU sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan tidak akan ditutup susulan kes letupan bom dan berbalas tembakan di Gualosira Pasemas, Daerah Sungkai Golok, Wilayah Narathiwat, Thailand. FOTO Arkib NSTP
PINTU sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan tidak akan ditutup susulan kes letupan bom dan berbalas tembakan di Gualosira Pasemas, Daerah Sungkai Golok, Wilayah Narathiwat, Thailand. FOTO Arkib NSTP
Nor Amalina Alias

Pasir Puteh: Pintu sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan tidak akan ditutup susulan kes letupan bom dan berbalas tembakan di Gualosira Pasemas, Daerah Sungai Golok, Wilayah Narathiwat, Thailand malam kelmarin.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, operasi di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) akan berlangsung seperti biasa.

Katanya, bagaimanapun kawalan akan diperketatkan termasuk menerusi kerjasama pasukan keselamatan lain seperti Pasukan Gerakan Am (PGA).

"Untuk tapisan kedua, di peringkat Ketua Polis Daerah (OCPD) dan Ketua Balai (OCS) kita nak melihat daripada segi kecurigaan kepada semua kenderaan, kalau ada kenderaan atau orang yang mencurigakan kita beri tumpuan seratus peratus.

"Setakat ini, tiada permohonan secara rasmi daripada Thailand," katanya ketika sidang media selepas merasmikan acara penutup Program Cinta dan Air Mata Peringkat Kebangsaan 2024 di Jeram Mengaji Agro Resort, di sini, hari ini.

Zaki berkata, hubungan baik antara Kelantan dan Thailand sudah sedia terjalin dan turut merasakan insiden malang yang berlaku.

Beliau berkata, meskipun pintu sempadan tidak ditutup, namun dia menasihat rakyat Malaysia untuk menangguhkan seketika perjalanan ke negara jiran itu susulan kejadian yang berlaku.

Dalam kejadian jam 12.05 tengah malam kelmarin, empat anggota polis Thailand cedera dalam insiden berkenaan.

Sementara itu, program Cinta dan Air Mata membabitkan penyertaan 100 peserta terdiri daripada pemimpin pelajar dan ahli pembimbing rakan sebaya dari politeknik dan kolej komuniti (Polycc) seluruh negara.

Dalam program itu, Zaki turut menyatakan sokongan padu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam program membabitkan golongan pelajar dan belia seperti program itu.

Katanya, tahun lalu, polis merekodkan peningkatan sembilan peratus kes seksual membabitkan golongan belia iaitu 90 kes daripada 62 kes pada Januari hingga April tahun ini daripada tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2024 @ 3:42 PM