FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mahanum Abdul Aziz


Kuala Lumpur: Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM), hari ini, membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus.

Pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal akomodatif dan menyokong pertumbuhan ekonomi, demikian kata bank pusat dalam satu kenyataan.

Pada mesyuarat pertama bagi 2023 pada Januari lalu, MPC BNM mengambil keputusan yang mengejutkan pasaran dengan mengekalkan kadar penanda aras pinjaman dan deposit itu pada 2.75 peratus selepas empat kenaikan secara berturut-turut tahun lalu.

OPR dinaikkan bermula Mei, Julai, September dan November tahun lalu, dengan masing-masing meningkat sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus berbanding paras rekod terendah 1.75 peratus sebelumnya.

Mengulas lanjut prestasi ekonomi negara, BNM berkata, pertumbuhan tahun ini akan terus didorong oleh permintaan dalam negeri.

Ia berkata, perbelanjaan isi rumah akan disokong oleh prospek pekerjaan dan pendapatan yang terus bertambah baik.

Katanya, ketibaan pelancong dijangka terus bertambah lantas menggiatkan lagi aktiviti berkaitan pelancongan.

"Projek infrastruktur berbilang tahun yang terus dilaksanakan akan menyokong aktiviti pelaburan. Risiko pertumbuhan menjadi lebih tinggi berpunca daripada pelaksanaan projek yang dinyatakan dalam pembentangan semula Belanjawan 2023 baru-baru ini," katanya.

Mengulas lanjut, BNM berkata, risiko prospek pertumbuhan ekonomi dalam negeri menjadi perlahan terus berpunca terutamanya daripada perkembangan global termasuk pertumbuhan sebenar yang lebih lemah daripada jangkaan atau keadaan kewangan global yang lebih ketat dan tidak menentu.

Ia berkata, inflasi keseluruhan dan inflasi teras dijangka menjadi sederhana sepanjang tahun 2023 tetapi akan kekal tinggi berikutan faktor permintaan dan kos yang berlarutan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2023 @ 3:39 PM