LOGO Bank Negara. FOTO Aswadi Alias.
LOGO Bank Negara. FOTO Aswadi Alias.
Mahanum Abdul Aziz


Kuala Lumpur: Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.0 peratus.

Kadar penanda aras yang menjadi rujukan kadar pinjaman dan deposit di Malaysia itu dikekalkan selepas kenaikan pertama bagi 2023 diumumkan Mei lalu sebanyak 25 mata asas kepada 3 peratus.

Pada Januari sehingga Mac 2023, OPR dikekalkan pada kadar 2.75 peratus selepas empat kenaikan berturut-turut bermula Mei, Julai, September dan November 2022, dengan masing-masing meningkat 25 mata asas kepada 2.75 peratus berbanding paras rekod terendah 1.75 peratus sebelumnya.

BNM berkata, pada paras OPR semasa, pendirian dasar monetari terus menyokong ekonomi dan konsisten dengan penilaian semasa berhubung dengan prospek pertumbuhan dan inflasi.

"MPC kekal berwaspada terhadap perkembangan semasa bagi memaklumkan penilaian prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.

"MPC akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil," katanya dalam Pernyataan Dasar Monetari, hari ini.

Mengenai prestasi ekonomi global, BNM berkata, ekonomi global terus berkembang, didorong permintaan dalam negeri berikutan sokongan keadaan pasaran pekerja yang teguh.

Ia berkata, sektor elektrik dan elektronik (E&E) mula menunjukkan beberapa tanda pemulihan, namun perdagangan global terus lemah sebahagiannya disebabkan peralihan perbelanjaan daripada barangan kepada perkhidmatan dan sekatan perdagangan yang berterusan.

"Pertumbuhan global terus terjejas disebabkan oleh inflasi yang masih tinggi dan kadar faedah yang lebih tinggi, dengan beberapa ekonomi utama mengalami momentum pertumbuhan yang semakin perlahan.

"Terdapat tanda awal menunjukkan pertumbuhan China semakin baik meskipun pasaran harta tanahnya terus lemah," katanya.

BNM berkata, inflasi keseluruhan global meningkat sedikit sebahagiannya disebabkan harga komoditi lebih tinggi, manakala inflasi teras terus sederhana.

Katanya, pendirian dasar monetari bagi kebanyakan bank pusat dijangka kekal ketat.

Pada mesyuarat MPC BNM yang terakhir bagi 2023 juga meluluskan jadual mesyuarat untuk 2024 yang akan diadakan sebanyak enam kali.

Mesyuarat MPC BNM bagi 2024 dijadualkan diadakan pada 23 dan 24 Januari 2024; 6 dan 7 Mac 2024; 8 dan 9 Mei 2024; 10 dan 11 Julai 2024; 4 dan 5 September 2024 dan 5 dan 6 November 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2023 @ 3:16 PM