BNM dijangka mengekalkan pendirian tunggu dan lihat dengan mengekalkan OPR tidak berubah pada 2.75 peratus pada mesyuarat MPC pada Mei depan.
BNM dijangka mengekalkan pendirian tunggu dan lihat dengan mengekalkan OPR tidak berubah pada 2.75 peratus pada mesyuarat MPC pada Mei depan.

FIRMA penyelidikan melihat kemungkinan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar untuk Kadar Dasar Semalamannya (OPR) pada paras semasa untuk tempoh yang lebih lama berikutan ia tidak dinaikkan pada Januari dan Mac.

Kenanga Research berkata, pandangan ini disokong oleh matlamat utama Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) untuk 'menentukur penetapan dasar monetari yang mengimbangi risiko kepada inflasi domestik dan pertumbuhan mampan' dan bahawa 'normalisasi kepada tahap akomodasi dasar monetari akan berdasarkan keadaan yang berubah dan implikasinya kepada inflasi domestik dan prospek pertumbuhan.'

"Berdasarkan prospek pertumbuhan dan inflasi yang dijangka sederhana pada tahun ini dengan risiko penurunan dari aspek luaran, kami menjangka kemungkinan yang kecil BNM akan meneruskan kenaikan kadarnya dalam tempoh terdekat.

"Oleh itu, tanpa mengambil kira kejutan luar dan domestik yang tidak dijangka mengenai prospek pertumbuhan dan inflasi, kami menjangka OPR akan kekal tidak berubah pada 2.75 peratus untuk sepanjang tahun ini," katanya dalam nota penyelidikan semalam.

Dalam nota berasingan, Public Investment Bank berkata, dengan subsidi masih berkuat kuasa, ia mengekalkan pandangan BNM dijangka mengekalkan pendirian tunggu dan lihat dengan mengekalkan OPR tidak berubah pada 2.75 peratus pada mesyuarat MPC pada Mei depan.

"Bagaimanapun, walaupun keputusan pada masa depan akan bergantung kepada data, kami melihat kemungkinan satu lagi kenaikan kadar 25 mata asas (bps) kepada 3.00 peratus pada separuh kedua 2023, dalam paras sebelum pandemik, tetapi ini bergantung kepada kemungkinan rasionalisasi subsidi bahan api pada separuh kedua 2023," katanya.

Sementara itu, CGS-CIMB Securities turut mengekalkan prospeknya untuk unjuran OPR pada akhir 2023, 3.25 peratus, dengan kadar kekal pada separuh pertama 2023 dan dua kenaikan 25bps pada separuh kedua 2023.

"Dari perspektif kami, BNM dijangka akan menaikkan kadar faedah pada separuh kedua 2023 berdasarkan beberapa faktor, termasuk pembukaan semula China yang akhirnya membawa kepada pemulihan ekonominya dengan peningkatan yang kukuh untuk Indeks Pengurus Pembelian pada Februari, merujuk kepada kesan limpahan yang positif ke arah pertumbuhan global," katanya dalam Kemas Kini Ekonominya.

Hong Leong Investment Bank (HLIB) mengekalkan jangkaannya BNM akan menaikkan OPR sebanyak 25bps lagi seawal Mei, menjadikan kadar terbabit kepada 3.00 peratus pada akhir tahun.

"Menurut MPC, pendirian dasar monetari semasa kekal akomodatif dan menyokong pertumbuhan ekonomi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mac 2023 @ 7:01 AM