ISS. FOTO AFP
ISS. FOTO AFP
AFP

Paris: Rusia kini berusaha untuk membawa pulang tiga angkasawan - dua warga Rusia dan seorang, Amerika Syarikat (AS) - yang 'terkandas' di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Ia selepas meteorit menyebabkan kerosakan pada kapal angkasa yang sepatutnya digunakan untuk membawa pulang angkasawan berkenaan.

Berikut adalah beberapa fakta penting mengenai ISS:

ISS adalah struktur buatan manusia terbesar yang dihantar ke orbit

Ia dilancarkan Amerika Syarikat, Rusia, Kanada, Jepun dan ahli Agensi Angkasa Eropah (ESA) pada 1998. Saiznya dari hujung ke hujung sama seperti saiz padang bola sepak. Beratnya pula sama seperti pesawat Boeing 747.

Ia dibina dengan kos AS$100 bilion (kira-kira RM432 bilion), dengan sebahagian besarnya dibiayai oleh AS. Ia mengorbit bumi setiap 90 minit sekali dengan purata pada altitud 400 kilometer (km).

ISS mula dihuni sejak November 2000 oleh kru diketuai oleh Rusia dan AS. Mereka lazimnya akan tinggal di situ untuk tempoh enam bulan. Kru akan menjalankan pelbagai eksperimen dalam mikrograviti yang boleh dipraktikkan di bumi, dan membantu usaha untuk menjelajah Marikh pada masa hadapan.

Angkasawan Nasa, Mark Vande Hei memegang rekod sebagai kru paling lama tinggal di ISS iaitu selama 355 hari.

Lima agensi angkasa mewakili 15 negara beroperasi di ISS

Nasa dan agensi angkasa Eropah (ESA), Kanada (CSA) dan Jepun (Jaxa) mengendalikan bahagian dikenali sebagai Segmen Orbital AS yang bertanggungjawab untuk tenaga solar.

Angkasawan Rusia mengendalikan Russian Orbital Segment iaitu bahagian untuk pendorongan dan mengekalkan orbit.

AS dan Rusia masing-masing membekalkan separuh daripada keperluan makanan di ISS. Bekalan ini dibawa menerusi kapal tanpa kru dari Rusia dan AS, termasuk kapal angkasa SpaceX daripada syarikat penerokaan angkasa milik Elon Musk iaitu SpaceX.

Stesen itu menempatkan tujuh kru, namun ia boleh menampung 13 orang ketika tempoh pertukaran kru.

Pada satu-satu masa, lapan kapal angkasa boleh dihubungkan dengan ISS, yang boleh kembali ke bumi dalam tempoh empat jam.

Bagaimanapun, pada satu-satu masa ada dua kapal angkasa berlabuh di ISS untuk digunakan dalam situasi kecemasan dan jika angkasawan perlu mengosongkan stesen berkenaan.

Rutin hidup di ISS

Ia bermula 6 pagi. Lampu hanya ditutup pada 10.30 malam selepas angkasawan melakukan eksperimen sains dalam tempoh antara lapan hingga 10 jam.

Selain itu, angkasawan perlu melakukan aktiviti fizikal selama dua jam untuk mengelak kehilangan otot dalam situasi mikrograviti.

Tiga jam lagi diperuntukkan untuk aktiviti lain, kerja baik pulih dan rehat.

KAPAL angkasa Soyuz. FOTO fail AFP
KAPAL angkasa Soyuz. FOTO fail AFP

Lebih 200 eksperimen pada satu-satu masa

Menurut angkasawan Perancis, Thomas Pesquet, kru perlu sentiasa sibuk ketika berada di ISS.

"Jika anda tidak berbuat sesuatu, anda akan rasa seperti berada di penjara dengan pemandangan yang bagus," katanya.

Tiada orang yang memiliki bilik atau katil di ISS. Angkasawan tidur di dalam beg tidur di dalam keadaan menegak.

Hanya ada sedikit air di ISS. Sebahagiannya dibawa dari bumi, bakinya pula diekstrak dari udara dan air kencing. Sisa air ditapis dan dikitar semula.

Tiada pancuran air atau pencuci pinggan mangkuk di ISS. Angkasawan menggunakan pengelap dan pengepam udara untuk membuang sisa buangan. Ia akan dimasukkan ke dalam kanister dan kemudian dimasukkan ke dalam kapal bekalan. Benda ini akan terbakar ketika memasuki atmosfera bumi.

ISS bukan binaan kekal

Nasa dan ESA mahu meneruskan operasi di ISS sehingga 2030. Namun, Rusia pada Julai 2022 - ketika perangnya dengan Ukraine - menyatakan untuk menarik diri pada 2024 dan mahu membina stesen angkasa sendiri.

Selepas 2030, ISS tidak akan lagi beroperasi dan dijangka terhempas di kawasan tidak berpenghuni di Lautan Pasifik. Nasa dilaporkan mahu beralih kepada rancangan stesen angkasa untuk tujuan komersial.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 January 2023 @ 11:06 AM