GALENA ‘dipos’ ke gudang pemulangan Amazon secara tidak sengaja oleh pasangan suami isteri ketika memulangkan kasut. FOTO Agensi/ Carrie Clark
GALENA ‘dipos’ ke gudang pemulangan Amazon secara tidak sengaja oleh pasangan suami isteri ketika memulangkan kasut. FOTO Agensi/ Carrie Clark
Agensi

Washington: Seekor kucing berusia enam tahun 'terpaksa' mengembara lebih 1,000 kilometer (km) dari kawasan kediamannya di Lehi, Utah ke Los Angeles, pada 10 April lalu.

Semuanya berlaku apabila Galena secara tidak sengaja termasuk ke dalam kotak pembungkusan dan dipos ke gudang pemulangan barang Amazon.

Namun takdir menentukan, kucing berbulu pendek milik Carrie Clark dan suami Matt Clark itu berjaya disatukan semula dengan tuannya itu selepas tujuh hari hilang.

Carrie berkata, mereka menyiarkan kehilangan kucing itu di media sosial dan mengedarkan risalah di sekitar kawasan kejiranan mereka di Lehi, namun tiada sebarang berita mengenai Galena selepas seminggu.

"Kami mencari Galena selama seminggu. Habis seluruh rumah kami geledah untuk mencarinya.

"Tujuh hari dalam pencarian, harapan kami untuk menjumpainya mula hilang. Tiba-tiba saya mendapat panggilan dari California Selatan.

"Seorang doktor haiwan berkata Galena ditemui 630 batu (1,013 km) dari rumah. Saya fikir ia gurauan. Saya benar-benar terkejut dan tidak percaya," katanya kepada Washington Post.

Carrie dimaklumkan seorang pembantu proses di Amazon, Brandy Hunter, menemui Galena di gudang pemulangan barang Amazon.

"Galena ditemui di dalam kotak kadbod bersama beberapa pasang but yang dipulangkan oleh suami.

"Apabila saya dan suami mengetahui Galena berada di dalam kotak itu, kami menangis," kata Carrie.

Pasangan itu berkata, mereka sangat gembira kerana Galena selamat, namun rasa sedih kerana haiwan kesayangan mereka itu terperangkap dalam kotak selama seminggu.

"Galena seekor kucing yang sangat pendiam dan suka bersembunyi. Suami tidak perasan langsung ketika dia membungkus kotak kasut dan menghantar ke pejabat pos.

"Bungkusan itu mempunyai berat kira-kira 35 paun (15.88 kg), manakala kucing seberat 10 paun (4.54 kg). Dia tidak perasan perbezaan berat itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2024 @ 11:10 AM