ISS. FOTO AP
ISS. FOTO AP
Agensi

Washington: Sekumpulan angkasawan terperangkap di orbit mengelilingi Bumi, selepas kapal angkasa dinaiki mengalami kerosakan besar.

Portal The National News melaporkan, penyelamat sedia untuk membawa mereka pulang, tetapi ada satu masalah besar.

Hanya ada empat kerusi, namun terdapat tujuh angkasawan.

Kedengarannya seperti plot filem Hollywood, Armageddon atau Gravity.

Sebenarnya, ia dilema kehidupan sebenar yang mungkin dihadapi angkasawan di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) selepas kapsul Soyuz milik Rusia rosak teruk sehingga mungkin tidak dapat dibaiki.

Angkasawan Rusia, Dmitry Petelin dan Sergey Prokopyev serta angkasawan Amerika Syarikat (AS), Frank Rubio tiba di ISS pada September dengan Soyuz dan kapal sama dijadualkan membawa mereka pulang, pada Mac.

Dua minggu lalu iaitu ketika Soyuz itu berlabuh di ISS, ia mengalami kebocoran besar pada penyejuk dengan sebahagian pakar percaya ia tidak lagi boleh terbang dengan selamat.

Satu-satunya kapal angkasa lain di ISS adalah Dragon milik SpaceX yang membawa sekumpulan empat angkasawan, dua dari Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa) AS, Kanada dan Rusia, pada bulan Oktober.

Jika ISS perlu dikosongkan dalam keadaan kecemasan, kumpulan ini boleh melarikan diri dengan menaiki Dragon.

Bagaimanapun, tiada jalan pulang bagi tiga yang lain.

Agensi angkasa lepas Rusia, Roscomos masih menilai tahap kerosakan pada Soyuz, serta kemungkinan puncanya.

Penyelesaian terbaik pada masa ini adalah Rusia menghantar kapsul Soyuz yang dijangka dilancarkan akhir Februari atau Mac, bagi membolehkan angkasawannya pulang dengan selamat.


Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 January 2023 @ 1:28 PM